Wednesday, January 18, 2006

patung

...

Jam sudah melewati 1 tengahari. Perutnya sudah berkeroncong. Itu bukan muzik yang terindah yang pernah didengarnya. Apatah lagi bila kedengaran di tengah-tengah bulan seperti ini.

Dinheiro Grande memeriksa dompetnya. Hanya dipenuhi resit-resit dan kad-kad nama sahaja. Sampah sarap.

Dia memeriksa lagi dompetnya. Senyuman terukir di bibirnya bila terjumpa dua keping wang. RM5 dan RM1. Hanya dua keping itu sahaja.

Tentu sahaja, tengahari itu dia tidak akan menjamu selera di kedai mamak. Lupakan dulu kari kas-kas. Dia perlu ketepikan dulu kehendak tekaknya. Yang penting, perutnya mesti terisi.

Dia pun melangkah laju ke gerai berhampiran pejabatnya.

"Nasi?"

Dinheiro mengangguk perlahan, sambil matanya menyapa setiap lauk yang terhidang.

Daging? Ayam? Ah! Lupakan sahaja. Dinheiro memilih lauk yang paling murah sekali. Barangkali.

Sardin dan tempe. Mungkin tak cukup murah, tetapi masih boleh ditanggungnya.

"Air apa tadi, dik?"

"Teh O suam."

"Semua sekali, RM4.30."

Dinheiro mengeluarkan dompetnya dan menyerahkan RM5. Seketika kemudian, dia menyambut bakinya.

Dia memilih tempat yang paling sudut. Jauh dari hingar bingar yang memeningkan.

Ketika ia menyuakan makanan ke mulutnya, dari jauh dia ternampak seorang lelaki buta dipimpin dari meja ke meja.

Dinheiro menundukkan kepalanya, berdoa dalam hati agar mejanya tidak disinggahi lelaki buta itu.

"Assalamualaikum! Boleh derma kat orang buta?!" orang buta itu menyapanya di sisi meja. Dinheiro pun tidak perasan bila lelaki itu sampai.

Dengan tidak menjawab salam, Dinheiro menyeluk poketnya dan mengeluarkan dompet. Sekeping RM1 yang terakhir itu dihulurkan pada si buta.

"Beruntung sungguh kau orang buta! Sekarang kau punya wang lebih banyak daripada aku."

Lompat
>> Kisah Dinheiro di bulan Ramadhan

7 comments:

shutter_speaks said...

pemberian ikhlas akan dibalas berkali ganda oleh tuhanmu. kau akan sentiasa lebih beruntung dari sibuta.

tp mungkin sibuta lebih beruntung dari kau jika dia sebenarnya tidak buta ;-)

ayobkelubi said...

dan kau bang akan lebih pahala dari aku,mungkin....

sinaganaga said...

Laa... Kalau dengan kau - si buta boleh dapat RM1. Kalau dengan dR. Elie - kau rasa, berapa RM dia boleh dapat?

Dan, pada hari itu, si buta makan NASI AYAM kat Bukit Bintang. Tambah nasi lagi...

So, siapa bodo??? Ha ha.

d'arkampo said...

kadang-kadang...aku ulang. Kadang-kadang.

kadang-kadang kita harus mengasihani diri sendiri sebelum mengasihani insan lain.

Kadang-kadang kita harus berkata benar walau kebenaran itu pahit.

"maaf pakcik..saya cuma ada seringgit tujuh puloh sen, tu pun buat bayar tol nanti"

Pak cik buta itu - "kasihan pakcik mendengarnya..nah ambik lima ringgit."

mana tau kan...rezeki ada di mana-mana dengan izinNya.

tujuh86 said...

"Ya, dua kilometer dari pemakan kulit mangga, 'paduka' kita mungkin lagi tertawa-tawa, makan-makan dengan istri-istrinya yang cantik-cantik. Aku besertamu orang-orang malang," bisik Soe Hok Gie.

Pegawai Khalwat said...

Kalau kat Bukit Bintang mungkin si buta makan nasi ayam.

Kalau kat Penang, si buta pasti makan nasi beriyani, lauk acar timun, ayam, kuah parpu.....

Pegawai Khalwat said...

Siti Fatimah, isteri Saidina Ali didatangi seorang peminta sedekah. Ketika itu Saidina Ali mempunyai 50 dirham. Setelah menerima wang, pengemis itu pun balik. Di tengah jalan, Saidina Ali bertanya berapa banyak yang diberi oleh Saidatina Fatimah. Apabila diberitahu 25 dirham, Saidina Ali menyuruh pengemis itu pergi sekali lagi ke rumahnya. Pengemis itu pun pergi dan Fatimah memberikan baki 25 dirham kepada pengemis itu.

Selang beberapa hari, datang seorang hamba Allah berjumpa Saidina Ali dengan membawa seekor unta. Orang itu mengadu dalam kesusahan dan ingin menjualkan untanya. Saidina Ali tanpa berlengah menyatakan kesanggupan untuk membelinya, meskipun ketika itu dia tidak berwang. Dia berjanji akan membayar harga unta itu dalam masa beberapa hari.

Dalam perjalanan pulang, Saidina Ali berjumpa dengan seorang lelaki yang ingin membeli unta itu dengan harga yang lebih tinggi daripada harga asal. Saidina Ali pun menjualkan unta itu kepada orang itu. Setelah mendapat wang, Saidina Ali pun menjelaskan hutangnya kepada penjual unta.

Beberapa hari kemudian, Rasulullah saw berjumpa Saidina Ali lalu bertanya "Ya Ali, tahukah kamu siapakah yang menjual dan membeli unta itu?" Apabila Saidina Ali mengatakan tidak tahu, Nabi menerangkan yang menjual itu ialah Jibril dan yang membelinya ialah Mikail.