...
Jam sudah melewati 1 tengahari. Perutnya sudah berkeroncong. Itu bukan muzik yang terindah yang pernah didengarnya. Apatah lagi bila kedengaran di tengah-tengah bulan seperti ini.
Dinheiro Grande memeriksa dompetnya. Hanya dipenuhi resit-resit dan kad-kad nama sahaja. Sampah sarap.
Dia memeriksa lagi dompetnya. Senyuman terukir di bibirnya bila terjumpa dua keping wang. RM5 dan RM1. Hanya dua keping itu sahaja.
Tentu sahaja, tengahari itu dia tidak akan menjamu selera di kedai mamak. Lupakan dulu kari kas-kas. Dia perlu ketepikan dulu kehendak tekaknya. Yang penting, perutnya mesti terisi.
Dia pun melangkah laju ke gerai berhampiran pejabatnya.
"Nasi?"
Dinheiro mengangguk perlahan, sambil matanya menyapa setiap lauk yang terhidang.
Daging? Ayam? Ah! Lupakan sahaja. Dinheiro memilih lauk yang paling murah sekali. Barangkali.
Sardin dan tempe. Mungkin tak cukup murah, tetapi masih boleh ditanggungnya.
"Air apa tadi, dik?"
"Teh O suam."
"Semua sekali, RM4.30."
Dinheiro mengeluarkan dompetnya dan menyerahkan RM5. Seketika kemudian, dia menyambut bakinya.
Dia memilih tempat yang paling sudut. Jauh dari hingar bingar yang memeningkan.
Ketika ia menyuakan makanan ke mulutnya, dari jauh dia ternampak seorang lelaki buta dipimpin dari meja ke meja.
Dinheiro menundukkan kepalanya, berdoa dalam hati agar mejanya tidak disinggahi lelaki buta itu.
"Assalamualaikum! Boleh derma kat orang buta?!" orang buta itu menyapanya di sisi meja. Dinheiro pun tidak perasan bila lelaki itu sampai.
Dengan tidak menjawab salam, Dinheiro menyeluk poketnya dan mengeluarkan dompet. Sekeping RM1 yang terakhir itu dihulurkan pada si buta.
"Beruntung sungguh kau orang buta! Sekarang kau punya wang lebih banyak daripada aku."
Lompat>>
Kisah Dinheiro di bulan Ramadhan