Friday, August 12, 2005

Plot Kitar Semula v01

...

Kalau kau berkeinginan untuk membuat cerita kepolisan, boleh guna plot kitar-semula ini. Tapi sebelum tu, kita kenal pasti dulu watak-watak dalam kisah kita ni dulu.

Kakak/Abang - Watak utama. Polis berpangkat ASP.
Adik kepada watak utama - Pembuat masalah, selalu membuat mak menangis. Memberontak tapi manja. Banyak menghabiskan masa di kelab-kelab malam bersama teman sepembuat-masalahan.
Teman wanita/lelaki watak utama - Mungkin polis juga. Anak orang senang.
Anak Tan Sri/Dato' - Penjahat. Bermotor besar atau berkereta sport. Selalunya dipandu laju. Selalunya jadi ketua kepada beberapa rakan jahat yang lain. Terlibat dalam pengedaran dadah dan/atau pelacuran dan/atau pengedaran VCD cetak rompak. Entah macam mana boleh terpikat dengan adik kepada watak utama. Mungkin sebab selalu ke kelab malam yang sama.
Polis pangkat tinggi - Boss kepada watak utama.
Polis-polis pangkat rendah - Pelakon tambahan atau lebih sesuai dipanggil sebagai prop.

Ok. Dah kenal watak-watak? Sekarang baru buat plot. Kitar semula.

Macam biasalah, kisah dibuka dengan satu kes pembununuhan. Watak utama menyiasat. Pening kepala dikongsi dengan polis-polis pangkat rendah. Kemudian dengar ceramah tentang moral dari polis pangkat tinggi. Ceramah tentang moral itu diakhiri dengan arahan untuk menangkap penjenayah (walau dengan apa cara sekalipun). Erk.. adakah dia bermaksud, hidup atau mati? Mungkin. Angguk-angguk kepala tanda faham. Dituruti dengan rakan-rakan polis pangkat rendah yang lain.

Fokus kepada adik kepada watak utama. Kelab malam. Adik terkinja-kinja menari. Mak di rumah menangis, mengadu pada watak utama. Watak utama jadi marah. Risau. Serabut.

Adik balik rumah. Kena ceramah dengan watak utama. Pung prang pung prang, dia cakap. Tentang moral. Tentang tanggungjawab. Tentang masa depan. Tapi masuk telinga kanan. Keluar telinga kiri. Tapi tak berapa sempat nak masuk sebab adik tutup pintu bilik bila watak utama berceloteh di muka pintu.

Fokus pada anak Tan Sri/Dato'. Dia menjadi raja jalanan. Dengan motor besar. Sentiasa bersama rakan. Keluar masuk kelab malam. Semua orang kenal. Tunjuk samseng, tapi tak siapa berani tegur sebab dia anak Tan Sri/Dato'. Ditambah pula dia ramai teman sepersamsengan.

Satu malam, si anak Tan Sri/Dato' pergi ke kelab malam. Terjumpa dengan adik watak utama. Dia usha dengan teliti. Lama. Dengan nafsu yang membuak-buak. Semestinya. Apatah lagi bila melihat segala lekuk dan lurah yang sama juga membuak-membuak. Semestinya. Burrp.. dia sendawa berulang kali, setelah menogok air dari gelas yang warnanya seperti air teh O.

Anak Tan Sri/Dato' merapati adik watak utama. Mereka tertawa. Gembira. Dan seterusnya keluar dari kelab untuk meneruskan aktiviti. Di malam yang masih muda itu.

Ya! Betul kata kau. Dan adik watak utama dan anak Tan Sri/Dato' yang jahat ni pun bercinta. Ke pantai. Ke pulau. Menghabiskan masa bersuka ria. Membuat mak si watak utama bertambah risau. Menangis.

Sementara itu, kes-kes jenayah terus meningkat. Banyak anak-anak dara dan tak berapa dara hilang dari ibu kota. Mungkin diseludup keluar ke luar negara. Untuk dijadikan pelacur. Watak utama risaukan keselamatan adiknya. Cuba menasihatkannya lagi. Tapi seperti biasa, adiknya sedikit pun tak menghiraukannya.

Kes-kes lain seperti penyeludupan dadah pun tiba-tiba meningkat naik.

Polis pening kepala. Dengan apa cara lagi nak menangkap penyangak-penyangak ini. Mengatur strategi untuk kesekian kalinya.

Polis dah tahu lokasi penjenayah. Buat serbuan. Berlaku tembak menembak. Peng peng! Beberapa penjenayah berjaya ditembak mati. Tapi anak Tan Sri/Dato lagi hebat (atau mungkin pasukan polis kurang cerdik?!). Operasi gagal kerana ada anggota polis yang tidak mengikut arahan. Balik ke balai, dimarahi polis pangkat besar. Pung prang pung prang. Dia berceramah tentang tanggungjawab. Tentang pentingnya mengikut arahan.

Damn!! Panjanglah pulak.

Tak cukup masa untuk tayangan 120 minit. Kita pendekkan dengan anak Tan Sri/Dato' cuba mengambil kesempatan ke atas adik watak utama. Dia cuba menolak. Kerana anak Tan Sri/Dato' cuba menjadikannya bahan kenduri dengan rakan-rakan sepersamsengannya. Dia menangis tapi sudah dikepung. Grrr grrr.. mereka menderam seperti harimau. Mahu menerkam dengan rakus.

Tiba-tiba. Ya! Selalunya seperti ribut. Watak utama menyerbu, menyelamatkan adiknya. Seorang diri. Tanpa sokongan polis-polis pangkat rendah.

Peng peng!! Berlaku tembak-menembak. Kejar-mengejar. Vrooomm vroooommm. Motor terbabas melanggar bahu jalan. Penjenayah lari lagi. Sambil dikejar watak utama. Dari belakang.

Sampai di satu kawasan lapang. Mereka bertumbuk. Gedebak! Gedebik! Gedebuk! Kelepek! Kelepak! Dusyum! Tiba-tiba polis sokongan datang. Tapi sudah terlambat. Watak utama sudah berjaya menewaskan anak Tan Sri/Dato'.

Tamat. Kau keluar panggung. Terasa bodoh menonton filem Melayu. Tapi ada orang yang kaya dengan membuat cerita kitar semula seperti ini.

6 comments:

sinaganaga said...

“Nama akau Rizal. ASP Rizal!”

Sufian said...

ASP Rizal keluarkan pistol dari sarungnya. ASP Rizal sumbatkan pistol ke dalam mulutnya.

Tarik picu.

Darah ASP Rizal bersembur menjadi corak-corak di dinding. Seperti tompokan Rorschach.

Inspektorwati Abby nampak:
Rama-rama terbang.

Inspektorwati Sarimah nampak:
Pasangan sedang bercengkerama.

ASP Yusuf Haslam
Gergasi dari langit yang sedang kencing.

Pasangan polis gay berpangkat rendah (seorang Cina dan seorang India nampak):
Ayam serama bersabung.

ASP Rizal.
Kau pergi.
Dan kau tinggalkan semua ini.

beck said...

nak kata genius, surely, tapi ini kitar semula... biasa la, filem melayu, buang masa buang karan... aku sudah lama jadi anti filem melayu (kecuali filem bijak pandai)... aku taknak rugikan 10ringgit semata tgk citer yg samam di ulang kali, kisah pasal org org tak logik, tak masuk akal... aku lebih suka tengok iklan... :) lagi mencabar minda... :p

beck said...

dan aku nampak kesan darah itu seakan bentuk asap rokok berkepul kepul... ngahahha... :p fuhhh

Anonymous said...

dan untuk keluar. dari template filem melayu. aku nonton sepet. Kononnya gah ada kelainan. Dari genre filem melayu biasa. dan aku terpaksa bayar RM 8 untuk tengok seluar dalam lusuh...alahai

moplantai said...

Bukan setakat kaya raya tapi dapat title DATUK lagi!