Wednesday, August 24, 2005

Carut Marut Karut v4

...

Negara dekat-dekat sini juga. Terlalu banyak jenayah. Banduan penuh di penjara. Sungguhpun begitu, kes-kes jenayah banyak juga yang belum dibicarakan lagi. Kes bunuh, rogol, rompak, salahguna dadah dan sebagainya sudah menyenakkan helaian akhbar-akhbar perdana.

Kementerian Kehakiman mengambil langkah drastik. Bicara semua OKT (Orang Kena Tuduh) ala-ala Akademi Fantasia.

Bermulalah episod Mahkamah Fantasia. 12 kes jenayah dipilih secara rambang dari ribuan kes yang belum dibicarakan. Kesemua 12 OKT dikumpulkan di sebuah banglo yang penuh dengan kamera rahsia. Jadi penonton dapat lihat muka pecah rumah mahupun muka rumah pecah tersiar setiap hari di Diari Mahkamah Fantasia yang disiarkan setiap jam 12.

Penonton mempunyai kebebasan penuh untuk mengundi samada membebaskan atau memenjarakan OKT. Seperti format AF, MF juga menggunakan sepenuhnya sistem undian melalui SMS, telefon atau butang peranti kawalan jauh.

Dalam siri yang ditayangkan di kotak bodoh itu, pengacaranya akan menggunakan segala kuasanya untuk membuat penonton mengundi dan mengundi dan mengundi dan mengundi dan mengundi dan mengundi. Jadi tidak kiralah, jika dia terpaksa menangis bila ada OKT yang terpaksa dipenjarakan selepas tersingkir dari episod MF yang penuh tragis dan kepiluan.

Sistem penjurian? Jika mahu, boleh jemput Pak Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Warden-warden penjara (atau lebih manis jika dipanggil Universiti Kedua) atau Ketua Polis Negara. Sekurang-kurangnya ia boleh memberi implikasi tentang ketegasan negara dalam menangani kes-kes jenayah yang belum dibicarakan.

Maka akan mekarlah perang antara Fan-Club OKT 1 melawan kesebelas OKT yang lain di chat room. Ahli Fan-Club saling maki memaki sedangkan OKT di banglo masih berpeluk-peluk dalam suasana yang damai.

Episod demi episod menyaksikan ada OKT yang tersingkir dan dipenjarakan tanpa perlu dibicarakan lagi. Maka tumbuh bak cendawan selepas hujan, forum dan blog yang menceritakan tentang keperkasaan Rakyat Marhaen sebagai Hakim Perkasa.

Di dada akhbar dalam ruangan Surat Pembaca ada juga yang menyumpah seranah ketololan Kementerian Kehakiman yang memulakan rancangan yang tidak bermoral ini. Ya! Kau lihat ada OKT yang memeluk OKT yang tersingkir sambil meramas-ramas... oops.. aku kira, itu tak sempat ditapis kerana rancangan ini disiarkan secara langsung.

Maka bersoraklah penonton yang membawa sepanduk yang berbunyi "Bebaskan Firaun", "Kami Sayang Kamu, Dubuk", "Naga Alam Semesta" dan sebagainya.

Di akhir episod MF, empat OKT ini akan membentangkan kes masing-masing yang membolehkan mereka dibebaskan dari pertuduhan. Pemenangnya akan memenangi bukan kereta atau kondo tapi hanya kebebasan dan populariti. Ada yang lebih berharga dari itu?

Tamat episod. Pemenang akan mengikat kontrak dengan syarikat penyiaran tersebut untuk membuat siri jelajah seluruh negara untuk memberi motivasi kepada belia. Mungkin antara kata-katanya yang popular ialah, "Remaja Benci Dadah", atau "Jauhi Jenayah".

Tercapailah misi Mahkamah Fantasia untuk mengurangkan kes yang belum dibicarakan dan mengutip duit dari penonton untuk membina lebih banyak penjara. Di samping itu, siri ini dapat juga memberi tip-tip percuma untuk mencegah jenayah.

Ha ha ha!!

1 comment:

el-Maaniq said...

haha... itu kalau Mahkamah Fantasia. kalu yang lain-lain?
haha..