Monday, July 25, 2005

Deja vu

Aku terasa sedikit kurang senang bila membaca. Perenggan pertama. Tak mungkin. Tapi tak juga mustahil. Entah. Aku harap. Tidak.

Disiarkan di Berita Harian (24 Julai 2005)

Mitos seekor anjing dan sebuah bukit

ANJING itu menyalak lagi. Dia akan terus menyalak tidak kira pagi atau petang. Dia akan menyalak apabila terlihat objek melintas di hadapannya. Kekadang salakannya memanjang, mendayu dan menyeramkan. Kata orang, salakan begini bererti anjing itu ternampak hantu. Mungkin hantu afrit bermata satu cuba menakut-nakutkannya.Tabiat semula jadinya ialah menyalak. Lantaran apa sahaja pergerakan yang dilihatnya, dia akan terus menyalak. Anjing kalau tidak menyalak, bukan anjing namanya. Menyalak bukan hobinya tetapi naluri kehidupannya.

Dia dipelihara untuk menjaga keselamatan dan harta tuannya. Dia diberi makan yang enak-enak dan mahal-mahal melebihi apa yang dinikmati oleh sesetengah manusia marhaen. Makanannya dibeli terus dari ‘supermarket’ atau ‘hypermarket’. Ada sesetengah manusia kempunan memasuki ‘supermarket’ dan ‘hypermarket’ ini.

Kesihatannya dijaga begitu rapi. Kalau dia jatuh sakit cepat-cepat akan dibawa ke doktor. Kalau dihinggapi selesema, tanpa berlengah tuannya akan membawanya ke klinik haiwan. Dia akan dimandikan se kurang-kurangnya dua kali seminggu. Selepas dibersihkan, bulunya akan dikeringkan dengan ‘vacuum’ khas untuk tujuan itu. Kemudian bulunya akan disisir oleh orang gaji tuannya. Rambut tuannya pun tidak pernah disisir oleh orang gajinya. Dia ibarat tuan kedua di dalam rumah banglo itu.

Anjing itu dipelihara oleh seorang ahli korporat di sebuah banglo di kaki sebuah bukit. Kehijauan bukit bukau yang melatari banglo itu menyamankan tuan rumah itu akan tetapi tidak mententeramkan anjing itu. Kerana bukit yang tersergam itu seolah-olah menjadi ancaman kepada anjing itu. Dia melihat bukit itu bagaikan raksasa besar. Lantaran setiap pagi apabila dia membuka matanya dan ternampak bukit itu tersergam di hadapannya, dia akan menyalak. Ada suatu ketika suaranya hilang kerana menyalak terlalu lama dan tanpa henti.

Dia bukan sahaja menyalak, malah sesekali menyerang. Dia akan menyerang kalau dilihat mangsanya itu lemah daripadanya. Kalau mangsanya lari apabila dikejar, dia akan terus mengejar. Kalau mangsanya berpaling, dia pula akan lari dan dikejar pula oleh mangsanya tadi.Suatu hari dia mengejar seorang kanak-kanak yang melintasi rumah tuannya. Disangkanya kanak-kanak itu mahu mencuri harta benda tuannya. Sebagai penjaga keselamatan rumah itu, menjadi tanggungjawabnya memastikan tiada sesiapa menceroboh harta benda tuannya.

Sebaik-baik saja dia menyalak, kanak-kanak itu lari ketakutan. Melihat kanak-kanak itu lari dia lantas mengejar dari belakang. Kanak-kanak itu terjatuh kerana kakinya tersandung tunggul kayu. Dia menerkam dengan garang lalu mengunggis pipi dan mencakar kepala kanak-kanak itu. Dia berhenti menyerang apabila buntutnya dibalun oleh seseorang sehinggakan tulang kaki belakangnya retak. Dia dibawa untuk rawatan di klinik haiwan selama sebulan. Selepas itu baru dia berasa pulih dan boleh menyambung tugasannya di rumah banglo di kaki bukit itu.

Selama ini tuannya tidak pernah memarahinya apabila dia menyalak. Akan tetapi suatu hari, tuannya agak berang apabila anjing itu menyalak kuat melihat beberapa buah lori membawa keluar balak dari dalam hutan bukit itu. Dia diam seketika apabila dimarahi tuannya. Beberapa minit kemudian dia terus menyalak sekuat-kuatnya sehingga membingitkan tuannya dan menyeramkan jiran-jirannya.

Berang dengan kedegilannya, tuannya mencari simpai dan menyimpai mulutnya. Mulutnya terkunci dan lantaran itu menegahnya daripada menyalak. Nalurinya untuk menyalak telah dihalang. Haknya untuk menyalak telah disekat. Itulah satutunya hak asasi yang ada pada binatang yang bernama anjing.

Akibat daripada tersimpai mulutnya, be berapa hari dia berhenti menyalak, kecuali apabila simpai itu dibuka untuk membe rinya makan. Kesempatan itulah yang diambilnya untuk terus menyalak meskipun tidak disenangi oleh tuannya. Akan tetapi salakannya tidak lama, sebaik sahaja selepas diberi makan, mulutnya akan disimpai semula.

Dalam masa mulutnya disimpai, ber lori-lori balak lagi dibawa keluar dari bukit itu sehinggakan rimba itu kelihatan rongak di sana sini. Banyak haiwan yang bernaung di dalam belantara itu sudah terancam ke hidupan mereka. Makanan sudah berkurangan di dalam rimba itu. Justeru, banyak binatang sudah berhijrah ke belantara lain untuk menyambung kehidupan mereka. Ada juga yang berkeliaran mengganggu kehidupan manusia yang mendiami di kaki bukit itu. Oleh kerana kekurangan makanan di dalam rimba, maka sekumpulan monyet mencuri makanan di rumah-rumah di kaki bukit itu. Rumah banglo kepunyaan korporat di kaki bukit itu turut digeledah oleh monyet-monyet itu. Keberanian monyet-monyet itu menceroboh rumah dan dapurnya menggusarkan tuan rumah banglo itu. Dia tidak ada pilihan melainkan membuka simpai yang mengikat mulut anjingnya itu bagi membantunya mengusir monyet-monyet itu.

Sebaik-baik sahaja simpai dibuka, anjing itu membuka mulutnya seluas yang mungkin, mengeluarkan suara nyaring, menyalak dan mengejar monyet-monyet yang degil itu. Mendengar salakan kuat itu, monyet-monyet itu bertempiaran lari menye lamatkan diri. Tuan rumah berasa lega beberapa hari kerana monyet-monyet itu tidak datang mengganggunya.

Selang beberapa hari monyet-monyet itu datang lagi. Malah kumpulannya lebih besar daripada dulu. Sebaik melihat kumpulan monyet-monyet itu, anjing itu menyusul sambil menyalak mahu menyerang monyet-monyet itu. Monyet-monyet itu tidak lari, malah beramai-ramai pula menyerang anjing itu. Anjing jadi panik. Ekornya menutup buntut dan berlari lintang pukang menyelamatkan diri. Monyet-monyet itu terus menyerang. Anjing mengerang, kesakitan. Melihat keadaan cemas itu, tuan punya anjing mengeluarkan senapang patahnya dan menembak tiga das ke udara. Mendengar letupan senapang itu, monyet-monyet itu ketakutan lari menyelamatkan diri ke dalam hutan. Anjing itu mengerang menahan sakit digigit oleh monyet-monyet itu.

Suatu pagi sebaik sahaja membuka matanya, anjing itu terperanjat besar melihat wajah bukit itu sudah berubah. Dulu bukit itu dipenuhi pohon-pohon besar dan pokok-pokok renek yang menghijau, tiba-tiba pagi itu sudah gondol di puncaknya. Anjing itu menyangkakan setan gondol sebesar raksasa tersergam berdiri mengancamnya. Dia pun menyalak, menyalak dan menyalak dan perutnya mengembang, mengempis, mengembang dan mengempis semula beberapa kali. Salakannya terus-terusan… perutnya kembang kempis terus-terusan… sehinggakan suatu hari, terputus nafasnya dan terhenti degup jantungnya.

Kematian anjing itu menggembirakan dan mendukacitakan tuannya. Sukanya dia kerana tiada lagi terdengar akan salakan anjingnya itu yang mengganggu ketenteraman serta membingitkan telinga. Dukanya kerana tanpa salakan anjingnya itu harta bendanya berada di dalam keadaan tidak selamat.

Enam bulan selepas kematian anjing itu, bukit itu sudah diratakan. Beberapa bulan kemudian terpacak berpuluh unit rumah-rumah banglo dan kondominium di puncak dan di lereng-lereng bukit itu. Pohon-pohon menghijau digantikan dengan hutan batu.

Ahli korporat yang rumah banglonya di kaki bukit menarik nafas lega. Lega mendapat laba atas kemusnahan hutan dan bukit itu.

Dia telah berjaya menyempurnakan projek raksasa serta membawa pembangunan di atas bukit itu sebagai pemaju dan kontraktor.

Sesungguhnya, maka benarlah, anjing yang menyalak bukit tidak akan meruntuhkan bukit itu.

BIODATA
Razali Endun
RAZALI mula menulis pada 1960-an dan aktif menulis semula pada 1998. Beliau terbabit dalam genre cerpen, novel, esei dan sajak. Dua novel terbarunya ialah Bumi Merah dan Meneliti Gelombang. Sebuah buku politiknya, Doa dan Air Mata. Beliau masih giat menulis di samping mengusahakan perusahaan sendiri.

3 comments:

spyz said...

tak kan lahhhh....
cuba letak sini tengok..

Anonymous said...

Wednesday, September 17, 2003

barking dogs don't bite

anjing memang suka menyalak. anggaplah itu sebagai satu 'defensive mechanism' utama haiwan ini. kalau haiwan lain mempunyai cara dan strategi untuk menyelamatkan diri atau menakutkan musuh seperti bertukar warna (sesumpah) atau mengembangkan tengkuknya (ular tedung), anjing pula bila menyalak, boleh buat orang kecut perut.

tapi selalunya, anjing yang suka menyalak jarang suka menggigit.

sesetengah manusia, ada juga yang mengambil sikap ini. kalau ada yang tak kena, pasti dia akan 'menyalak'. dia akan 'menyalak' pagi, petang, siang, malam. dia akan 'menyalak' tanpa mengira masa dan tempat. dia akan 'menyalak' dan 'menyalak', tak kiralah samada benda yang di'salaknya' itu takut atau tidak. kadang-kadang bukit pun mahu di'salak'nya.

bukanlah niat aku nak menyamakan sesetengah manusia dengan anjing. bukankah manusia itu sebaik-baik ciptaan Tuhan? tapi kadang-kadang banyak perkara yang boleh kita pelajari dari anjing. atau mungkin kita boleh juga sekali-sekala membuang nilai kemanusiaan kita dan cuba melihat dunia dari mata anjing.

antaranya, sesetengah anjing seperti anjing kurap contohnya tahu yang dia akan disepak atau dilempar batu.

tapi dia tidak peduli. dia akan terus menyalak dan menyalak.

tapi tidak mengapalah kalau dia mahu menyalak, kerana memang itu sifat anjing.

kalau manusia, bersifatlah seperti manusia. berhentilah 'menyalak'. jangan sampai sudah disepak atau dilempar batu, baru mahu berhenti 'menyalak'.

tapi kalau kau berdegil mahu terus-terusan 'menyalak'. teruskanlah. 'menyalaklah' sepuas hatimu. 'menyalaklah' sampai tercabut anak tekak.

aku sudah tidak peduli lagi. aku boleh pekakkan telinga. aku boleh butakan mata atau tebalkan muka bila kau sudah mula 'menyalak'.

tapi hati-hati! ketika 'menyalak', jangan lupa untuk menoleh sesekali ke belakang. jangan sampai kau sendiri tak sedar ada ekor yang tumbuh.

aku lagi.. said...

anggap lah ia satu penghargaann (compliment)..