Tuesday, July 19, 2005

Bau apa ni?

...

Bangkai gajah manakan boleh ditutup dengan nyiur.

3 comments:

sinaganaga said...

Busuk?

tujuh86 said...

Utusan Malaysia (19 Julai 2005)

Penerima AP didedah -- Empat orang diberikan lebih 25,000 tahun ini

KUALA LUMPUR 18 Julai - Empat orang, Tan Sri Nasimuddin SM Amin, Datuk Syed Azman Syed Ibrahim, Datuk Mohd. Haniff Abdul Aziz dan Datuk Azzuddin Ahmad, sesama mereka telah diberikan lebih 25,000 permit import (AP) untuk mengimport kereta mewah pada tahun ini, menurut satu senarai yang dikeluarkan oleh kerajaan hari ini.

Daripada jumlah itu, Syed Azman, Mohd. Haniff dan Azzuddin menerima sejumlah 16,214 AP menerusi beberapa syarikat manakala Nasimuddin, pengarah urusan Naza Motor Group, memegang 9,412 AP kebanyakannya menerusi Naza Kia Sdn. Bhd.

Senarai meliputi 67,158 AP itu bagi tahun ini, dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri petang ini ekoran timbulnya kontroversi mengenai pemberian AP.

Ini merupakan pertama kali nama penerima AP diumumkan walaupun sebelum ini para pemimpin kerajaan berkata dasar untuk tidak menghebahkan nama mereka dikekalkan.

Menurut satu kenyataan, kerajaan telah membuat keputusan untuk menghebahkan nama penerima-penerima AP itu.

Ia menjelaskan bahawa terdapat dua jenis AP iaitu AP terbuka dan AP francais.

Bagi AP terbuka, pemegangnya dibenarkan mengimport kereta baru dan kereta terpakai dari mana-mana sumber tetapi pemberian AP ini dihentikan pada 1988.

AP francais diberikan kepada syarikat-syarikat yang mempunyai perjanjian agensi eksklusif dengan pengeluar kereta asing.

Isu AP itu menjadi hangat apabila bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pemberiannya yang terlalu banyak telah menyebabkan berlaku persaingan tidak adil kepada kereta nasional, Proton. Dr Mahathir merupakan penasihat kepada Proton.

Katanya ramai pengimport membuat pengisytiharan harga yang rendah dan menjual kereta-kereta ini lebih murah daripada harganya yang sebenar.

Beliau mempersoalkan bagaimana 20 syarikat diberikan sebahagian besar daripada 50,000 AP sedangkan matlamat kerajaan adalah untuk membantu sebanyak mungkin peniaga Bumiputera dengan mengagih-agihkan permit berkenaan.

AP, yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), diperkenalkan pada 1970 dengan tujuan memberi galakan dan menyediakan peluang kepada usahawan Bumiputera dalam sektor automotif.

Pertama kali nama Nasimuddin tersiar dalam senarai itu adalah pada 1988 sementara Syed Azman dan Mohd Hannif, kedua-duanya bekas pegawai MITI, pada 2002.

Syarikat-syarikat milik Nasimuddin ialah Naza Kia Sdn, Next Car Sdn Bhd, NZ Wheel (M) Sdn Bhd, Nasim Sdn Bhd dan Naza Brabus, yang mengimport kereta-kereta seperti Kia, Mercedes Benz, Peugeot, Ferrari, Modena, Maserati, Rolls Royce, Bentley dan Brabus.

Syed Azman dan Mohd Haniff mengimport kereta mereka menerusi syarikat-syarikat seperti Westcar Motorsport Sdn Bhd, Atlantic Star Auto Sdn Bhd, Auto Pacific Star Sdn Bhd, Go Smartstar Sdn Bhd, Global World Trade Sdn Bhd dan Territorial Star Sdn Bhd. Seorang lagi pemilik saham di Weststar ialah Azzuddin.

Syarikat mereka mengimport kereta-kereta seperti Honda, Ford, Chevrolet, Smart, Suzuki Audi.

Antara penerima lain dalam bilangan besar ialah Hyumal Motor Sdn Bhd yang dimiliki oleh Berjaya Group Bhd, Sime Darby Bhd dan Tan Sri Vincent Tan yang diperuntukan 8,573 AP bagi kereta Hyundai.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Rafidah Aziz yang dibidas kerana isu AP itu hari ini berkata beliau berharap suratnya kepada Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan bekas Perdana Menteri itu.

"Bagi saya...(perkara) itu selesailah, kerana dah terangkan habis, jelas, terperinci. Saya berharap dengan penjelasan itu tidak timbul lagilah," katanya merujuk kepada isu-isu melibatkannya dan kementerian beliau yang dipertikaikan Tun Dr Mahathir baru-baru ini.

Surat berkenaan dibuat atas permintaan kabinet bagi menjelaskan keadaan sebenar kepada Tun Dr Mahathir.

Rafidah yang enggan memperincikan kandungan surat itu berkata: "Saya tidak mahu orang ramai menganggap apa yang Tun kata tu betul, maka nampak sangat buruk saya, tak eloklah, saya terpaksa terangkan."

"Jadi, sebagai menghormati Yang Berbahagia Tun, tak payahlah kita keluarkan kandungannya," katanya kepada pemberita.

tujuh86 said...

Berita Hairan (19 Julai 2005)

Empat dapat 28,283 AP
Oleh Azman Zakaria

PUTRAJAYA: Empat individu, Datuk Seri Syed Azman Syed Ibrahim, Datuk Mohd Haniff Abdul Aziz, Datuk Azzuddin Ahmad dan Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin, menerima sejumlah 28,283 permit import (AP) kereta sejak 1997 hingga tahun ini.

Syed Azman, Mohd Haniff dan Azzuddin menerima 15,759 AP Francais menerusi beberapa syarikat dalam tempoh empat tahun sejak 2002.

Nasimuddin yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Naza pula diberi 3,112 AP Terbuka melalui Naza Konsortium pada 1998, selain memegang 9,412 AP Francais yang kebanyakannya menerusi Naza Kia Sdn Bhd sejak 1997 hingga tahun ini.

Senarai pemegang AP itu dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan, semalam.

Senarai meliputi 67,158 AP itu diluluskan dari 1970 hingga 2005, iaitu 17,526 AP Terbuka dan 49,632 AP Francais. Ini adalah kali pertama senarai penerima AP diumumkan kerana dasar kerajaan sebelum ini tidak menghebahkan nama pemegang permit itu.

Dalam kenyataan itu, Pejabat Perdana Menteri menjelaskan kerajaan mengambil keputusan mengumumkan senarai pemegang AP dan profil syarikat terbabit berdasarkan maklumat yang dikemukakan penerima permit berkenaan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) ketika mereka memohon untuk AP.

"Walaupun syarikat disyarat memaklumkan sebarang pertukaran kepada struktur ekuiti, tidak semua syarikat berbuat demikian.

"Justeru, maklumat terkini mungkin berbeza daripada maklumat yang didaftar di Suruhanjaya Syarikat Malaysia," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menjelaskan AP Terbuka membenarkan pemegang mengimport kereta baru dan kereta terpakai dari mana-mana sumber. Pengeluaran AP Terbuka yang baru bagaimanapun dihentikan pada 1988.

AP Francais pula dikeluarkan kepada syarikat yang sudah memeterai perjanjian agensi eksklusif secara langsung dengan pengeluar kereta dari luar negara.

Isu pengeluaran AP mencetuskan kontroversi selepas Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan mengapa daripada 67,000 AP yang dikeluarkan pada 2004, hanya 12,600 diberi kepada 82 syarikat, manakala 20 syarikat mendapat 54,400 AP.

Bekas Perdana Menteri turut menyuarakan kebimbangannya bahawa pemberian AP yang terlalu banyak menyebabkan persaingan tidak adil kepada kereta nasional, Proton.

AP yang dikeluarkan MITI, diperkenalkan pada 1970 bertujuan memberi galakan dan menyediakan peluang kepada usahawan Bumiputera dalam sektor automotif.

Menurut kenyataan itu, Nasimuddin menerima 8,432 AP Francais bersama Datuk SM Shalahuddin SM Amin melalui Naza Kia manakala 76 lagi melalui Next Car Sdn Bhd dan 419 melalui NZ Wheel Sdn Bhd, semuanya diluluskan pada 1997.

Nasimuddin juga menerima 293 AP Francais melalui Nasim Sdn Bhd yang diluluskan pada 2002 dan 192 lagi bersama Shalahuddin serta Tan Sri Zaleha Ismail melalui Naza-Brabus Sdn Bhd yang diluluskan pada 2004.

Syed Azman, Mohd Haniff dan Azzuddin pula mendapat 7,603 AP Francais melalui Weststar Motorsport Sdn Bhd yang diluluskan pada 2002.

Syed Azman dan Mohd Haniff juga menerima 582 AP Francais melalui Atlantic Star Auto Sdn Bhd dan 5,087 lagi melalui Auto Pacific Star Sdn Bhd yang masing-masing diluluskan pada 2003.

Kedua-duanya turut menerima 311 AP Francais melalui Go Smartstar Sdn Bhd yang diluluskan pada 2004 dan 1,280 lagi melalui Global World Trade Sdn Bhd serta 896 melalui Territorial Star Sdn Bhd yang diluluskan tahun ini.