Monday, October 24, 2005

Carut Marut Karut v.6

...

Apa kaitan ruang udara untuk latihan ketenteraan dengan pembinaan jambatan untuk menggantikan tambak yang menyumbang pada kekotoran air di Selat Tebrau?

Kalau memandu di pulau sebesar lubang hidung itupun, kau tak perlu sempat nak guna gear 5, jadi memang perlulah mereka menagih simpati negara jiran untuk meminjamkan ruang udara kepada tentera udara mereka.

Tapi bukan sekali dua kapalterbang terlepas bebas ke ruang udara sebelah sini. Yalah, kami faham. Negara kecil saja. Baru berlepas dari landasan sudah sampai ke pantai. Dan kapalterbang tak punya brek. Nak main kejar-kejar dalam ruang udara yang sebesar lubang hidung juga tak berapa seronok.

Tapi kapalterbang mereka berkuasa tinggi. Mengikut legendanya, satu kapalterbang sudah cukup untuk memusnahkan 3 buah kapalterbang musuh ketika bertempur di udara. Kalau nak kejar? Makan asap je la lu orang, beb!!

Jambatan boleh tunggu. Nanti kalau dah dapat ruang udara, siapa yang peduli pasal air kotor tu semua? Semua boleh kitar semula. Air kumbahan pun mereka boleh kitar semula, botolkan dan minum.

Apa yang susah sangat?

Oh! Ya. Selamat membeli belah untuk hari raya di Plaza Angsana untuk penduduk negara di sebelah sana. Nak balik nanti boleh isi minyak kereta penuh-penuh. Dan jangan risau, di negara sebelah sini boleh pakai gear 5. Bawalah kereta tu macam negara lu orang yang kasi duit.

Hah!

5 comments:

Anonymous said...

Tamatkan rundingan isu tertunggak - Shahrir
Oleh Zaharuddin Md Ali - Utusan Malaysia

JOHOR BAHRU 22 Okt. - Malaysia wajar menamatkan rundingan dua hala dengan Singapura berhubung isu-isu tertunggak kerana perbincangan demi perbincangan yang diadakan gagal mencapai sebarang kemajuan.

Pengerusi Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, sikap Singapura yang enggan bertolak ansur menyebabkan rundingan yang diadakan beberapa kali tidak mencapai sebarang kemajuan.

"Adalah lebih baik menamatkan sahaja rundingan yang dibuat kerana ia tidak akan membawa kita ke mana-mana kerana sikap dia (Singapura) yang tidak akan berubah walaupun pucuk pimpinannya berubah.

"Sejak awal lagi saya telah nyatakan jikalau Goh (Chok Tong) sebagai Perdana Menteri Singapura tidak boleh membuat apa-apa, tak mungkin sekarang ini beliau sebagai Menteri Kanan boleh membawa hasil yang positif.

"Ini semua permainan (Singapura)," katanya yang juga ahli Parlimen Johor Bahru kepada para pemberita selepas menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 1,067 orang yang terdiri dari anak yatim, fakir miskin, ibu tunggal dan golongan orang kurang upaya di dalam kawasan parlimennya, di sini hari ini.

Beliau bekata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Singapura hari ini yang menafikan bahawa republik itu bersetuju pada dasarnya berhubung pembinaan jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor semasa rundingan dua hala di Putrajaya baru-baru ini.

Menurut Shahrir, bagi Singapura, dalam setiap rundingan yang diadakan, apa yang diutamakan ialah apa yang boleh mereka dapat dan bukan menjaga hubungan baik dengan negara jiran mereka, Malaysia.

"Inilah masalah yang dihadapi oleh pasukan perunding Malaysia kerana mereka berdepan dengan sikap kerajaan republik itu yang akan hanya bersetuju jika mereka (Singapura) memperoleh sesuatu daripada persetujuan itu.

"Mereka (Singapura) bukanlah jenis yang akan berkata "ok saya bersetuju". Pada mereka bukan soal menjaga hubungan baik tetapi yang lebih mustahak ialah apa yang Singapura boleh dapat.

"Inilah sikap kerajaan Singapura (dari dulu) dan kita perlu menerima hakikat itu dan cuba memahami kekecewaan dan kebosanan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika berurusan dengan Singapura," tegas beliau.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, Malaysia perlu fokus kepada perkara-perkara yang diinginkan dari Singapura dalam rundingan-rundingan yang dijalankan.

Katanya, meminta terlalu banyak dari Singapura akan hanya melemahkan kedudukan negara ini ketika berunding dengan kerajaan republik itu.

Menurut beliau, pada masa ini, Singapura akan hanya bersetuju terhadap pembinaan jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor jika mereka diberi kebenaran menggunakan ruang udara Malaysia untuk tujuan latihan ketenteraan.

Kedua-dua isu ini (jambatan dan latihan ketenteraan), tegas beliau, sebenarnya tidak mempunyai sebarang kaitan.

"Persoalannya sekarang apakah kehendak kita untuk mendapatkan jambatan lebih penting atau penggunaan ruang udara itu lebih mustahak.

"Apakah kita sanggup mengorbankan ruang udara kita kepada kegunaan tentera udara negara lain," tanya beliau.

Shahrir secara sinis berkata, untuk menyelesaikan masalah itu, tentera udara Malaysia dan Singapura sepatutnya digabungkan sahaja kerana sebagai sebuah negara yang kecil, Singapura tidak perlu mempunyai sebuah angkatan tentera udara.

Ditanya mengenai kenyataan Menteri Luar Singapura, George Yeo baru-baru ini bahawa Malaysia bakal menghadapi "implikasi yang serius" jika mengambil pendekatan bersendirian berhubung isu pembinaan jambatan baru, katanya, apa yang dinyatakan itu adalah sesuatu yang `aneh' kerana apa yang mahu dilakukan adalah dalam wilayah Malaysia.

Anonymous said...

Kerajaan akur arahan PM tidak dedahkan isu tertunggak Singapura

KUALA LUMPUR 23 Okt. - Kerajaan akur dengan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk tidak mendedahkan kandungan dan perkembangan rundingan isu-isu tertunggak dengan Singapura pada peringkat pegawai bagi memastikan ia berjalan lancar.

Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar memberitahu, di dalam keadaan di mana banyak lagi perkara perlu dibincangkan, kenyataan kepada pihak media akan hanya menimbulkan pelbagai salah faham dan andaian yang tidak tepat yang mampu mengganggu dan menjejaskan keputusan rundingan.

"Kita masih di peringkat rundingan, jadi bila ada apa-apa keputusan yang telah dicapai barulah kita akan maklumkan, seperti yang dikehendaki oleh Perdana Menteri.

"Memberi publisiti kepada isu-isu rundingan tidak akan mendatangkan keuntungan kerana akan membawa kepada kenyataan balas, penafian dan sebagainya yang tidak akan mewujudkan iklim yang baik.

"Sebab itulah kita memilih untuk tidak bising mengenai hal ini walaupun ada pihak yang berkata bukan-bukan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

Syed Hamid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan rundingan peringkat pegawai mengenai isu-isu tertunggak dengan Singapura.

Singapura menafikan bahawa ia bersetuju pada dasarnya berhubung pembinaan jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor.

Susulan penafian itu, Pengerusi Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional, Datuk Shahrir Abdul Samad dilaporkan mencadangkan agar rundingan itu dihentikan kerana gagal mencapai penyelesaian setelah beberapa sesi rundingan akibat sikap Singapura yang enggan bertolak ansur.

Dalam pada itu, Syed Hamid berkata, tarikh bagi rundingan ketiga isu-isu tertunggak antara kedua-dua belah negara masih belum ditetapkan.

* Sumber - Utusan Malaysia

Anonymous said...

Kementerian Luar mampu yakinkan Singapura terus rundingan

KUALA LUMPUR 23 Okt. - Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu percaya Kementerian Luar dapat meyakinkan Singapura supaya meneruskan rundingan dengan Malaysia berhubung isu dua hala antara kedua-dua negara yang masih tertangguh.

Katanya, Kementerian Luar sedang berusaha ke arah itu bagi menyelesaikan semua isu-isu tertangguh termasuk pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor.

Samy Vellu menghargai usaha berterusan yang dilakukan Kementerian Luar untuk mencari penyelesaian berhubung isu Tambak Johor.

"Walaupun kita kecewa kerana belum ada penyelesaian yang jelas tetapi Kementerian Luar masih berusaha keras dan kita mesti mempunyai keyakinan terhadap usaha kerajaan ini," katanya.

Menurutnya, rundingan pada masa lepas berhubung tanah dan perairan yang menghubungkan Malaysia dan Singapura dapat diselesaikan melalui rundingan dan persefahaman dua hala.

"Tidak ada sebab mengapa harus kita berhenti berunding kali ini. Adalah tidak bijak untuk kita menarik diri daripada rundingan berhubung isu berkenaan,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BBCBN), Datuk Shahrir Abdul Samad semalam bahawa Malaysia wajar menamatkan rundingan dua hala dengan Singapura berhubung isu-isu tertunggak.

Shahrir memberikan pandangan sebegitu berikutan kenyataan Singapura yang menafikan bahawa ia bersetuju pada dasarnya berhubung pembinaan jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor semasa rundingan dua hala di Putrajaya baru-baru ini.

Menurut Samy Vellu, pandangan Shahrir itu bukan merupakan pendirian dan kepentingan kedua-dua negara.

Sementara itu, kata beliau, kementeriannya akan membina jalan sementara menyambungkan tambak yang sedia ada dengan bangunan baru Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ).

Tambahnya, Malaysia dan Singapura mempunyai pertalian sejarah selain daripada hubungan rakan perdagangan.

"Kita tidak boleh berterusan enggan meneruskan rundingan semata-mata kerana kelewatan pembinaan jambatan itu," katanya.

* Sumber - Utusan Malaysia

Anonymous said...

Tinta Strategis: Singapura guna penghakiman ITLOS
Oleh Prof Madya Dr Azmi Hassan- Berita Harian 22 Okt. 2005

KUALA LUMPUR dan Singapura mungkin sudah belajar daripada kesilapan lampau bahawa sikap konfrontasi dan tidak mahu mengalah dalam menyelesaikan isu tertunggak tidak akan membawa manfaat kepada semua pihak.

Tidak kira sama ada perbincangan mengenai masalah penambakan, harga air, pengeluaran wang simpanan pekerja Malaysia, penggunaan ruang udara Johor, tuntutan bertindih Pulau Batu Putih atau jambatan menggantikan Tambak Johor, sikap bertolak ansur kedua-dua pihak memang jelas kelihatan sejak kebelakangan ini.

Ada yang membuat andaian bahawa perbincangan mengenai masalah yang dianggap rumit ini, tetapi dilakukan dalam suasana berhemat dapat memperkukuhkan lagi hubungan dua hala Kuala Lumpur-Singapura.

Lawatan rasmi Presiden Singapura, SR Nathan, ke Malaysia pada April lalu dianggap sebagai satu lakaran sejarah kerana kali terakhir Presiden republik itu membuat lawatan ke Malaysia ialah pada 1991.

Sejak kebelakangan ini juga, menteri Kabinet kedua-dua negara sering melakukan kunjungan, satu keadaan yang sukar dicapai ketika hubungan tidak begitu telus, terutama pada 2002.

Malah, kehadiran Presiden Nathan dan Perdana Menteri, Lee Hsien Loong, memberi penghormatan terakhir kepada isteri Perdana Menteri, Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood, kelmarin, jelas mempamerkan hubungan erat Kuala Lumpur-Singapura.

Ramai juga yang berpendapat bahawa masalah isu tertunggak kedua-dua negara jiran ini sebenarnya merapatkan lagi hubungan dan persefahaman bukan saja di kalangan pemimpin, malah rakyat.

Isu terbaru iaitu cadangan Kuala Lumpur untuk membina jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor yang dibina sejak 81 tahun lalu, bakal menarik perhatian orang ramai.

Menarik kerana pelbagai bentuk isyarat dikeluarkan sama ada oleh Kuala Lumpur atau Singapura yang kebanyakannya membawa maksud berlainan.

Lebih menjadi menarik kerana Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Kanan Singapura, Goh Chok Tong pada pertemuan Mac lalu mengambil pendirian hasil perbincangan setiap isu tidak akan dihebahkan kepada media untuk mengelak salah tanggapan.

Media Malaysia, umpamanya, melaporkan beberapa siri kenyataan mengenai isu jambatan yang antara lain membawa maksud bahawa jambatan di sebelah Malaysia tetap akan dibina walaupun Singapura tidak memberi kata putus.

Pengamal media Singapura juga tidak melepaskan peluang melontarkan komen dan analisis mengenai hasrat Kuala Lumpur hingga timbul pelbagai gelaran seperti jambatan bengkok dan separuh siap.

Penghebahan media yang dianggap sebagai perang psikologi menjadi rancak sejak pertemuan di antara pegawai kanan Malaysia dan Singapura pada 7 September lalu.

Media kedua-dua negara hanya mampu membuat andaian mengenai hasil perbincangan disebabkan berita rundingan tidak dihebahkan kerana masih belum mencapai kata putus.

Tetapi, isu jambatan memasuki fasa yang dikatakan menarik kerana Menteri Luar Singapura, George Yeo telah mengeluarkan kenyataan di Parlimen republik itu Isnin lalu yang antara lain menempelak hasrat Kuala Lumpur untuk membina jambatan walaupun separuh.

Lebih menarik kenyataan itu dikeluarkan dua hari sebelum rundingan pusingan terbaru dilaksanakan di Kuala Lumpur.

Ada yang berpendapat kenyataan berkenaan sengaja dikeluarkan dua hari sebelum rundingan hanya untuk memberi isyarat yang lebih jelas kepada Kuala Lumpur.

Antara lain, Yeo memberi penekanan seperti yang dipersetujui Abdullah dan Chok Tong bahawa setiap cadangan tidak kira sama ada dari Kuala Lumpur atau Singapura, mesti memberi faedah kepada kedua-dua pihak dan tidak menganiayai pihak lain.

Ini bermakna pembinaan jambatan yang mana kos akan ditanggung secara bersama bukan saja sepatutnya memberi faedah kepada Malaysia dan Singapura, tetapi tidak menjadi bebanan.

Tetapi, lebih menarik lagi ialah apabila Yeo mengikat pembinaan jambatan dengan arahan penghakiman yang dikeluarkan Tribunal Antarabangsa bagi Undang-Undang Laut (ITLOS) pada Oktober 2003 mengenai penambakan di Selat Johor.

Singapura sebenarnya memulangkan paku buah keras kepada Kuala Lumpur berikutan bantahan Malaysia terhadap penambakan di Selat Johor.

Jika Tambak Johor dianggap sebagai satu kemudahan antarabangsa, mengikut kehendak penghakiman ITLOS sebelum ini sebarang keputusan mengenai struktur itu perlu mendapat persetujuan kedua-dua belah pihak.

Singapura juga menyuarakan rasa bimbang terhadap kesan kepada alam sekitar jika Tambak Johor digantikan dengan jambatan seperti Kuala Lumpur membuat bantahan kerja penambakan Singapura di atas alasan kemusnahan alam sekitar.

Jika Kuala Lumpur masih berkeras membina jambatan tanpa persetujuan Singapura, Malaysia dianggap melanggar undang-undang antarabangsa.

Penggunaan faktor ITLOS oleh Singapura walaupun dinyatakan melalui beberapa nota bantahan, tetapi pengucapan di Parlimen boleh dikatakan sedikit di luar dug aan.

Kuala Lumpur setakat hari ini belum lagi membalas kenyataan Yeo. Tetapi seperti yang dinyatakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak: "Apabila sampai masanya, kita akan buat kenyataan rasmi.”

Tidak diketahui apa yang berlaku ketika rundingan pada Rabu lalu kerana kedua-dua pihak masih berpegang dengan janji tidak menghebohkan sebarang hasil rundingan, selagi kata persetujuan belum dicapai.

Hubungan erat sudah terjalin di antara pemimpin tertinggi kedua-dua negara, besar kemungkinan masalah jambatan dapat diselesaikan dengan keputusan diterima oleh semua pihak. Malah, dijangka masalah jambatan menjadi pemangkin kepada jalan keluar beberapa isu tertunggak yang adanya sudah melampaui empat dekad lamanya.

Anonymous said...

Kalau aku punya, kalaulah ya. Aku bomb saja jambatan yang 81 tahun itu, biar padan muka satu-satu. Yang dari pulau Singa tak boleh berulangalik ke JB sibuk nak borong itu ini, nak isi tanki minyak kehapa ke, stuck in it's own goddamn island.

Yang diJb pula memang tak kerugian apa2 sangat, kecuali mereka yang mencari rezeki disini.

Tapi itulah, kalau bomb saja jambatan 81 tahun itu, tak payah susah-susah nak runding-runding nak dapatkan persetujuan, confirm dorang akan bina baru punya tanpa meminta apa-apa ha ha.

Sementara jambatan itu roboh, saya akan pergi JB ikut jalan Batam, takpun, there's always by air. I think I should stop going to JB completely, who knows, tgh kat atas jambatan tuh betul2 dorang bomb ke ha ha ha ha.

tension jer tengok berlambak-lambak kereta singapura kat jb last saturday. tapi betullah, dorang ni kaki borong betul. kadang2 nak terajang jer orang2 yg cakap berbelanja kat Jb sbb low income, pleaselah, silap2 aribulan, org2 yg low income pun maybe tak terjejak JB lebih dari 2 tahun sekali atau mungkin setahun sekali. bukan every bloody weekend.

maybe M'sia harus mintak, rakyat dia boleh keluar masuk Singapore without much hassle, without a need of passport. maybe just pakai pass yang tak mahal sangat, tak sampai beratus2 ringgit.


-rafthah-