Thursday, October 27, 2005

!

...

Apa falsafah hukuman Islam? Keadilan dalam Islam? Berat sebelah perundangan sering membuat wanita menjadi mangsa ketidakadilan? Salah siapa? Apa jalan penyelesaiannya? Siapa yang boleh cuci semua tong najis ni?

Kenapa terdapat mereka yang mendakwa al-Qur'an itu sebagai petunjuk sepanjang zaman, bila berdepan dengan realiti semasa, mahu memutar kembali masa ke zaman silam? Lari dari teknologi? Masuk ke bawah tempurung jumud?

Saji sudah dibuka. Aroma makanan dah menusuk hidung. Kita lihat sejauh mana 'makanan' ini sesuai untuk sistem hadaman.

11 comments:

tujuh86 said...

Peguam Syarie Menulis: Hukuman jenayah syariah beri pengajaran kepada masyarakat

KETINGGIAN tamadun manusia selalunya diharapkan membawa kepada ketinggian akhlak dan ketertiban dalam kehidupan. Namun, hakikatnya perkara sebaliknya yang berlaku pada hari ini. Jenayah berlaku di merata tempat dan dalam keadaan tertentu kadang-kadang tidak terlintas pada fikiran kita.

Pendekatan yang diambil oleh Barat gagal dalam usaha menangani atau membanteras jenayah di kalangan masyarakat mereka. Malah, dewasa ini bentuk jenayah adalah lebih terancang, kejam dan langsung tidak dapat dikesan. Hukuman yang dikenakan tidak menimbulkan kesedaran di kalangan masyarakat dan tidak mempunyai sebarang kesan menangani fenomena jenayah ini.

Islam membanteras jenayah melalui caranya sendiri yang digariskan oleh Allah di dalam syariat-Nya. Cara unik ini adalah berlandaskan falsafahnya tersendiri.

Falsafah hukuman Islam yang berteraskan rabbani ternyata berjaya menangani permasalahan ini jika dilihat dari aspek sejarah. Hukuman atau uqubah adalah balasan yang dikenakan oleh Allah untuk mencegah perlakuan yang ditegah oleh Allah dan melakukan apa juga suruhan-Nya.

Ibn Taimiyah berpandangan bahawa hukuman dalam Islam adalah sebagai ‘rahmat’ daripada Allah untuk hamba-Nya yang lahir daripada rahmat dan belas ihsan Allah kepada makhluk-Nya. Hukuman mempunyai kaitan yang amat rapat dengan keseluruhan kehidupan agama Islam itu sendiri. Ia disyariatkan dengan tegas demi menjaga kepentingan kehidupan yang sempurna seperti dituntut oleh Islam.

Kehidupan manusia mesti diatur dan disusun galur sesuai dengan fitrah manusia itu sendiri agar ia tidak melampaui batasan yang ditetapkan.

Rahmat ini bermaksud manusia akan terselamat daripada malapetaka, kezaliman dan kekuasaan seseorang. Ia dapat menjaga kebaikan atau kelebihan yang ada pada seseorang dalam sesebuah masyarakat dan melindunginya daripada keburukan. Ia juga dapat menyediakan suasana dan persiapan untuk masyarakat melalui kemaslahatan dan kemanfaatan.

Hukuman Islam adalah berasaskan panduan daripada Allah dan bukan hasil pemikiran manusia. Budi bicara hakim dalam menjatuhkan hukuman masih lagi tertakluk kepada panduan yang dinyatakan di dalam al-Quran dan sunnah.

Dalam rangka memerangi jenayah secara habis-habisan, syariah tidak hanya bergantung kepada hukuman dunia, malah memberi perhatian kepada hukuman akhirat. Konsep hukuman ini dalam syariah bertujuan mengetuk pintu hati kecil manusia dan menguji keimanan serta penyerahan diri kepada Allah. Itu sebabnya dalam sejarah syariah, pesalah datang sendiri meminta dihukum di dunia kerana menginsafi mereka pasti akan dihukum di akhirat kelak.

Hukuman syariah adalah berlandaskan prinsip pencegahan. Oleh itu, mana-mana jalan yang boleh membawa kerosakan akan disekat pada peringkat awalan lagi. Ini dilakukan semata-mata bagi menjaga kemaslahatan awam yang wajib dipelihara dan diutamakan.

Hukuman dalam syariah menjamin tertegaknya keadilan. Perkara ini dapat dilihat daripada beberapa sudut:

Disyaratkan bahawa setiap hukuman mesti mempunyai peruntukan dalam syariah supaya hukuman itu tidak tersasar dari batasan yang ditentukan oleh Islam.

Syariah memegang konsep syakhsiyyah. Dalam hubungan ini pesalah secara individu akan menanggung sendiri kesan perbuatannya dan tidak boleh ditanggung oleh orang lain.

Syariah mengutamakan persamaan, dalam erti kata setiap individu sama di sisi undang-undang tanpa mengira pangkat kedudukan harta bangsa dan sebagainya.

Untuk menjamin keadilan, syariah mengenakan syarat perbicaraan yang ketat berdasarkan pengakuan, bukti, saksi dan sebagainya. Hakim juga mesti memiliki sifat adil, amanah dan sebagainya bagi menjamin keadilan dapat dilaksanakan.

Hukuman dalam Islam mesti memadai atau mencukupi sebagai balasan kepada penjenayah. Ia mesti boleh menghalang orang lain daripada melakukan jenayah seperti hukuman yang kelihatan menakutkan, tetapi dilaksanakan di dalam batas keadilan.

Hukuman yang dikenakan mesti sesuai dengan jenayah yang dilakukan. Hukuman yang tidak bersesuaian atau setimpal dengan kesalahan hendaklah dielakkan.

Hukuman juga hendaklah berkuat kuasa sepenuhnya bagi memastikan tiada siapa yang dapat terlepas daripada hukuman.

Syariah mengamalkan sistem tarbiyyah. Melalui cara ini masalah jenayah dapat diselesaikan hingga ke peringkat akar umbinya iaitu melalui penyediaan asas institusi keluarga yang kukuh berasaskan kefahaman Islam.

Soal pemilihan isteri, pendidikan asas anak, pemberian nafkah daripada sumber yang halal, menanamkan keimanan serta mencorakkan akhlak Islam membantu proses penyediaan masyarakat yang taat, jauh daripada melakukan jenayah. Islam adalah sumber ketinggian budi yang mengekang manusia daripada melakukan jenayah.

Sistem ganjaran pahala pula, umpamanya, mampu meningkatkan ketakwaan seseorang. Setiap orang akan berusaha untuk mencapai keredaan Allah dan merasakan kegerunan terhadap amaran dalam bentuk azab Allah serta balasan di dunia dan akhirat.

Setiap orang Islam juga faham bahawa tanggungjawab mencegah kemungkaran adalah tanggungjawab setiap individu. Sikap ini penting bagi mencegah kemungkaran.

Berbeza dengan apa yang berlaku di Barat apabila mereka terlalu mementingkan hak peribadi dan tidak mempedulikan orang lain yang melakukan jenayah. Nasihat tidak berperanan dalam erti kata sebenar di dalam masyarakat Barat.

Mungkin ada orang yang mengatakan bahawa hukuman dalam Islam adalah terlalu kejam. Kenyataan ini sebenarnya lahir daripada insan yang langsung tidak mengetahui falsafah hukuman dalam Islam.

Hukuman dalam Islam tidak boleh hanya dilihat dari aspek hukumannya saja, malah penelitian hendaklah dilakukan terhadap pembuktian dan pelaksanaan hukuman.

Pembuktian kes tertentu yang dikatakan kejam itu amat ketat di dalam Islam sehinggakan jika ada sedikit keraguan pun ia sudah cukup untuk mengetepikan hukuman yang berat itu. Pelaksanaan hukuman pula bertujuan sebagai alat pencegahan dan menimbulkan keinsafan di hati orang lain agar tidak mengikuti perbuatan jenayah itu.

Deraan yang dilakukan ke atas seorang pesalah dapat menyelamatkan ribuan manusia yang tidak bersalah. Inilah keindahan syariah Islam kerana Islam lebih mengutamakan kepentingan umum berbanding dengan kepentingan individu. Oleh itu, segala tindakan di dalam Islam adalah ke arah menjaga kepentingan umum tersebut.

SEBAHAGIAN rencana ini dipetik daripada artikel Hukuman Mengikut Undang-Undang Syariah oleh Dr Zainuddin Jaafar.

PANDANGAN dan persoalan kemukakan kepada Persatuan Peguam Syarie Malaysia pada admin@pgsm.com.my, faksimile 03-80259495 atau layari www.pgsm.com.my

* Sumber: Berita Harian - 27 Oktober 2005

tujuh86 said...

Wanita minta keadilan Mahkamah Syariah
Oleh HASNURUL MOHAMED

JOHOR BAHRU 25 Okt. - Pengakuan ini agak luar biasa dan mengaibkan, tapi demi keadilan seorang wanita yang melahirkan anak luar nikah tidak peduli itu semua.

Wanita berusia 25 tahun itu tertekan dan kesal apabila pihak berkuasa syariah hanya mengambil tindakan ke atas dirinya seorang sahaja kerana melahirkan anak itu yang kini berusia setahun sebulan.

Beliau bertanya: "Mengapa buru saya seorang. Kenapa lelaki yang menghamilkan saya tidak diambil tindakan?"

"Saya telah membuat aduan polis mengenai lelaki yang meniduri saya, tetapi sehingga hari ini, tiada tindakan diambil terhadapnya. Hanya saya sahaja yang menjadi buruan sama ada oleh pihak polis mahupun Mahkamah Syariah," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dia yang membawa bersama anak kecilnya mendakwa, hidupnya kini terumbang-ambing tanpa bantuan sesiapa kecuali keluarga angkatnya yang sudi memberikan tempat perlindungan dan pekerjaan.

Zuraidah mendakwa mengenali lelaki itu pada tahun 2000 ketika bekerja di sebuah kilang di Johor Bahru.

Katanya lagi, keakrabannya dengan lelaki itu membuatkan dirinya lalai dan menerima pelawaan ke kelab-kelab malam sehingga terjalinnya hubungan kelamin.

Dia mendakwa hasil perhubungan dengan lelaki berusia dalam lingkungan awal 40-an, dia telah hamil sehingga melahirkan seorang bayi perempuan.

Katanya lagi, untuk membuktikan bayi itu anak kandung lelaki terbabit, beliau mengajak lelaki itu supaya membuat ujian DNA.

"Saya pernah dipanggil oleh pihak Mahkamah Syariah daerah atas kesalahan melahirkan anak luar nikah. Soalnya, mengapa saya seorang sahaja yang dipanggil sedangkan lelaki yang bertanggungjawab itu tidak dicari.

"Saya sudah pun membuat laporan polis dan memberikan segala butiran diri lelaki terbabit untuk diambil tindakan dari segi Syariah, tetapi selepas setahun laporan itu dibuat, sehingga hari ini, kes ini diam begitu sahaja," ujarnya.

Zuraidah memberitahu, dia dikehendaki hadir ke Mahkamah Majistret Johor Bahru untuk dihadapkan atas kesalahan menjalin hubungan luar nikah.

"Saya bersedia naik mahkamah dan berhadapan dengan apa jua tindakan yang mungkin diambil ke atas diri saya, tetapi bagaimana pula halnya dengan lelaki itu.

"Apa yang saya minta, biarlah pihak berkuasa adil dalam melaksanakan undang-undang. Jangan hukum saya seorang sahaja kerana saya seorang wanita, tetapi carilah dan hukumlah juga lelaki itu," katanya.

* Sumber: Utusan Malaysia - 26 Oktober 2005

tujuh86 said...

Kes lahir anak luar nikah: MAIJ kumpul fakta
Oleh ZAHARUDDIN MD ALI

JOHOR BAHRU 26 Okt. - Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) masih lagi dalam peringkat pengumpulan fakta sebelum membuat keputusan untuk mendakwa semua yang terbabit dalam kes hubungan luar nikah membabitkan seorang wanita berusia 25.

Ini bermakna pihak lelaki yang menghamilkan wanita itu juga akan didakwa.

Masalahnya sekarang dalam kes itu: Ada dua lelaki. Siapa yang menghamilkannya?

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa MAIJ, Yosree Ikhsan berkata, siasatan itu bermula sejak bulan November tahun lalu selepas wanita terbabit melahirkan anak.

"Siasatan yang dijalankan sehingga ini mendapati terdapat dua lelaki didakwa terlibat dan salah seorang daripada mereka telah pun dipanggil memberi keterangan.

"Kita kini sedang mendapatkan keterangan daripada lelaki kedua untuk melengkapkan siasatan sebelum pasukan pendakwa membuat keputusan untuk memfailkan kes itu ke mahkamah atau sebaliknya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan wanita itu yang merasakan dirinya tertekan kerana kononnya pihak berkuasa syariah hanya menjadikan dirinya 'buruan' sedangkan tiada tindakan dibuat terhadap lelaki yang menyebabkan dia hamil dan melahirkan anak walaupun telah membuat laporan polis mengenainya.

Menurut Yosree, lelaki yang dinyatakan oleh wanita itu dalam laporan polisnya telah memberi keterangan kepada pasukan penyiasat dan usaha sedang dibuat untuk mendapatkan keterangan daripada lelaki kedua.

"Saya yakin setelah kertas siasatan lengkap dan pendakwa berpuas hati, kes ini akan difailkan ke mahkamah sama ada akhir tahun ini atau awal tahun depan," katanya.

Ditanya mengenai ujian DNA untuk mengenal pasti ayah kandung anak yang dilahirkan wanita itu, beliau berkata, ujian itu hanya boleh dibuat atas perintah mahkamah.

Oleh itu, katanya, pada peringkat ini biarlah siasatan mengenai kes itu dibuat sebelum apa juga tindakan seterusnya dijalankan.

Wanita itu membuat pengakuan yang agak luar biasa dan mengaibkan bagi menuntut keadilan kerana mendakwa dirinya seorang sahaja menjadi `buruan' pihak berkuasa syariah.

Dia kesal mengapa lelaki yang menyebabkan dirinya hamil tidak dikenakan tindakan sedangkan laporan polis mengenai lelaki yang menidurinya telah buat.

Beliau yang datang ke pejabat Utusan Malaysia di sini semalam bersama anak kecilnya, mendakwa hidup mereka kini terumbang ambing tanpa bantuan sesiapa kecuali keluarga angkat yang sudi memberikan tempat perlindungan dan pekerjaan.

Dia mendakwa mengenali seorang lelaki pada tahun 2000 ketika bekerja di sebuah kilang di Johor Bahru.

Katanya lagi, keakrabannya dengan lelaki itu membuatkan dirinya lalai dan menerima pelawaan lelaki tersebut yang sering membawanya ke kelab-kelab malam sehingga terjalin hubungan kelamin.

Dia mengakui, hasil hubungan dengan lelaki berusia dalam lingkungan awal 40-an, dia hamil dan akhirnya melahirkan seorang bayi perempuan.

Katanya lagi, untuk membuktikan anak kecil itu adalah anak kandung lelaki terbabit, beliau mengajak lelaki itu supaya membuat ujian DNA.

Zuraidah yang menyesali keterlanjuran yang pernah dilakukannya dan meminta pihak berkuasa supaya adil dalam melaksanakan undang-undang.

"Jangan hukum saya seorang sahaja, tetapi cari dan hukumlah juga lelaki itu," katanya.

* Sumber: Utusan Malaysia - 27 Oktober 2005

Anonymous said...

ah i read the last two piece of news.

but betullah, alang2 nak hukum pun, harus lelaki tuh kena sama. baru adil.

lain2 isu takde komen.

sekian terima kasih.

-rafthah-

kawan-kawan yang kita suka said...

oit oit! kawan-kawan yg kita suka, letaklah link ke www.jurnal.biz di blog kita, supaya kita boleh mencalonkan sesama sendiri utk Anugerah GJ 2005. terima kasih.

Anonymous said...

Memang tidak adil!!
Saya menyokong penuh usul yang dikemukakan...

Sekian, terima kasih.

Anonymous said...

Wanita berzina jangan salahkan teman lelaki

Saudara Pengarang,
MUKA hadapan Utusan Malaysia 26 Oktober 2005 melaporkan keluhan seorang perempuan yang mendakwa ia menjadi mangsa ketidakadilan Mahkamah Syariah kerana mahu menghukumnya atas kesalahan hamil luar nikah. Beliau juga kesal kerana hanya beliau sahaja yang diambil tindakan, sedangkan pasangan lelakinya masih bebas dan tidak diambil tindakan.

Isu mengenai kes ini (hamil luar nikah) pernah diperdebatkan oleh pertubuhan-pertubuhan wanita yang mengatakan tidak adil hanya perempuan sahaja di ambil tindakan.

Di sini saya ingin membuat perbandingan dengan kes rogol, hanya lelaki sahaja yang diambil tindakan. Mengikut statistik, kebanyakan kes rogol dilakukan oleh orang yang dikenali seperti teman lelaki dan sebagainya. Contohnya, bagi pasangan yang mengamalkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, mereka selalu berpeleseran sama ada di kompleks membeli belah, di disko-disko. Setelah puas berpeleseran mereka akan mencari tempat untuk bermalam. Biasanya perempuan sebegini dengan rela hati mengikut teman lelakinya untuk pulang ke rumah sewaannya atau bilik-bilik hotel.

Hubungan seksual sudah menjadi rutin kepada pasangan-pasangan sebegini. Namun begitu apabila berlaku ketegangan dan salah faham antara mereka, perempuan ini akan mendakwa ia dirogol, sedangkan mengikut fakta ia sebaliknya.

Ramai lelaki dalam kes-kes yang sedemikian yang telah disabitkan dan dihukum dengan penjara dan sebatan, manakala pasangan perempuannya pula bebas melakukan kegiatannya dengan lelaki lain pula. Sedangkan dia juga mempunyai aset yang besar yang menyebabkan ia dirogol.

Akhbar memang banyak melaporkan kes-kes begini, iaitu dirogol setelah mengikut teman lelaki, yang kadang-kadang hanya dua jam dikenali. Saya merasakan jika terdapat fakta rogol yang sebegini, perempuan juga patut dikenakan hukuman yang setimpal dengan sumbangannya menyebabkan ia dirogol. Manakala bagi kes rogol yang melibatkan paksaan atau serangan oleh lelaki, memang wajarlah mereka sahaja dihukum.

Seterusnya perempuan tersebut berasa kesal dengan tindakan Mahkamah Syariah yang dikatakan telah memburunya. Sebenarnya mahkamah tidak memburu atau menangkap orang. Ini tugas pihak penguat kuasa atau polis. Fungsi sesebuah mahkamah dalam kes jenayah ialah menerima permohonan dari pihak pendakwaan untuk mendakwa seseorang yang didapati melanggar undang-undang yang termaktub di dalam sesuatu akta atau enakmen. Pendakwa juga yang bertindak memohon saman, waran tangkap dan sapina untuk memanggil tertuduh dan saksi-saksi ke mahkamah. Mahkamah akan mendengar kes tersebut dan akan membuat keputusan.

Perempuan tersebut juga tidak boleh mempertikaikan mengapa pasangan lelakinya tidak didakwa kerana pendakwa mempunyai kuasa eksklusif untuk membuat pendakwaan atau tidak terhadap mana-mana kes. Pihak pendakwaan biasanya menapis terlebih dahulu sebelum sesuatu kes dibawa ke mahkamah.

Kes-kes yang ada kekuatan bukti sahaja yang akan dibawa, manakala kes yang kurang pembuktian akan diketepikan atau pegawai penyiasat diarah menyiasat semula. Dalam kes perempuan tersebut, pihak pendakwaan mungkin kekurangan bukti untuk mendakwa pasangan lelaki melakukan zina kerana untuk sabitan kes zina perlu empat orang saksi lelaki yang adil melihat perzinaan tersebut.

Pendakwaan tanpa syarat tersebut akan menyebabkan orang yang mendakwa pula boleh dihukum sebat 100 kali. Difahamkan juga ada dua orang lelaki terlibat dengan hubungan intim dengan perempuan tersebut. Yang mana satu telah menghamilkannya?

Namun begitu saya telah meneliti Akta/ Enakmen Jenayah Syariah. Kesalahan zina dinyatakan sebagai persetubuhan luar nikah dan hukuman maksimum hanya denda RM5,000 atau tiga tahun penjara atau enam sebatan atau kombinasi mana-mana hukuman tersebut.

Pada pendapat saya, pihak pendakwaan boleh memanggil lelaki-lelaki berkenaan untuk diambil pengakuan di hadapan saksi-saksi. Jika ada pengakuan/ikrar dari lelaki-lelaki tersebut, bolehlah dilakukan pendakwaan terhadap mereka di mahkamah. Ini kerana hukuman yang dilaksanakan bukanlah melibatkan hukum hudud.

Begitu juga dengan keterangan melalui DNA dirasakan pihak pendakwaan boleh gunakan sebagai pembuktian di mahkamah untuk menentukan siapakah ayah kepada anak yang telah dilahirkan oleh perempuan itu.

Ingin saya nyatakan bahawa perempuan tersebut tidak perlu menyalahkan sesiapa di dalam hal ini. Salahkanlah diri sendiri. Pendakwaan terhadapnya atas kesalahan hamil luar nikah dibuat kerana ia kes yang prima facie (pembuktian yang jelas) yang tidak dapat disangkal, apatah lagi dengan pengakuannya sendiri yang mengamalkan pergaulan bebas.

Manakala tentang nafkah anak tersebut adalah wajib ke atas beliau menanggungnya. Lelaki yang menghamilkannya juga boleh diperintahkan membayar nafkah mengikut peruntukan di bawah seksyen 81(2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Pahang 1987, yang memperuntukan: Jika seseorang bapa yang disangkakan, cuai atau enggan menanggung nafkah seseorang anaknya yang tidak sah taraf, yang tidak berupaya menanggung nafkah dirinya, mahkamah boleh, apabila hal itu dibuktikan dengan sewajarnya, memerintahkan bapa yang disangkakan itu memberi apa-apa elaun bulanan yang difikirkan munasabah oleh mahkamah.

Saya tidak pasti sama ada di negeri lain ada peruntukan tersebut. Kalau ada, saya nasihatkan beliau berjumpa dengan mana-mana Peguam Syarie untuk membuat tuntutan nafkah dari lelaki tersebut. - PEGUAM PENCEN, Jerantut.

ahsuez said...

Err...

Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Maaf semua.

sinaganaga said...

Selepas makan, aku berkumuh. Boleh?

Op said...

sedap sama-sama sedap
sakit sorang-sorang sakit

Anonymous said...

Hukum al-Quran, hadis mencukupi

KISAH wanita berusia 25 tahun yang melahirkan anak luar nikah hasil bersekedudukan dengan lelaki berusia 40-an yang disiarkan akhbar baru-baru ini menarik perhatian saya.

Semua pihak tahu bahawa undang-undang syariah sedang dilaksanakan di negara ini.

Tetapi adakah segala bentuk hukuman itu dapat menyedarkan rakyat? Saya mendapati hakikatnya hukuman cara syariah langsung tidak menyedarkan masyarakat.

Buktinya ialah kita mendapati kejadian zina dan sumbang mahram makin bertambah. Jadi di manakah rasionalnya hukuman syariah dapat memberi kesedaran kepada masyarakat?

Undang-undang Islam yang mengikut secara telus ajaran dalam al-Quran dan hadis adalah sempurna dan benar-benar dapat menginsafkan manusia. Malah, ajaran Islam sejati dapat melunakkan hati yang keras dan dapat menjinakkan jiwa yang liar.

Tetapi sejauh manakah ajaran Islam ini diikuti oleh kita semua terutama pihak yang melaksanakan undang-undang syariah.

Saya tidak nampak undang-undang syariah di negara yang kita cintai ini betul-betul mengikut al-Quran dan hadis serta dapat mendidik masyarakat untuk menjadi baik.

Kejadian zina dan sumbang mahram yang semakin meningkat, menampakkan undang-undang syariah tidak dapat menghalang kejadian berkenaan dan memberi keinsafan kepada masyarakat.

Seperti kata pepatah, mencegah lebih baik daripada berubat. Masalah zina dan sumbang mahram yang berlaku dalam masyarakat Islam sangat memalukan. Ia adalah satu penyakit masyarakat yang semakin kronik.

Hukuman yang dijatuhkan langsung tidak dapat mengurangkan penyakit masyarakat ini. Sudah tiba masanya untuk kita sama-sama kembali mengamalkan al-Quran dan hadis kerana dengan mengamalkan ajaran al-Quran dan hadis Rasulullah saja dapat dijadikan ubat mencegah penyakit masyarakat yang melanda bangsa kita masa kini.

Janganlah kita mengada-adakan peraturan yang tidak ada dalam al-Quran dan hadis.

Saya mencadangkan pihak yang berkuasa memansuhkan peraturan yang menyusahkan kerana peraturan itu sedikit pun tidak dapat mendidik masyarakat.

Sebagai contoh, peraturan untuk berpoligami yang mewajibkan suami meminta izin isteri pertama, sewajarnya dimansuhkan, kerana dengan ada peraturan itu pun orang masih lagi berpoligami dengan bernikah di Thailand.

Denda yang dikenakan itupun saya mendapati adalah zalim kerana mereka tidak berbuat dosa malah mereka berbuat pahala.

Kalau dengan berbuat pahala pun hendak didenda, bimbang nanti tiada lagi orang hendak berbuat pahala, tapi yang banyak ialah berbuat dosa dengan bertambahnya zina dalam masyarakat akibat peraturan poligami yang ketat.

Kemungkinan kejadian zina seperti kes wanita berusia 25 tahun itu tidak berlaku jika proses pernikahan di negara ini dipermudahkan tetapi tetap terkawal.

Laporan akhbar itu tidak menjelaskan sama ada lelaki berusia 40-an itu sudah beristeri atau tidak. Jika sudah beristeri, proses berpoligami di negara ini sepatutnya dipermudahkan.

ZULKAFLI ABDULLAH,
Kampung Gajah,
Perak.


* Sumber: Berita Harian 29 Oktober 2005