Monday, August 29, 2005

Pengkhianat bangsa

...

Kau takkan terfikir bagaimana mudahnya untuk kau layak digelar 'pengkhianat bangsa' hingga seorang menteri muda itu berkuasa.

Gagal menyiapkan kontrak saja, kau sudah layak bergelar 'pengkhianat bangsa'. Dan pesanan untuk Lembaga Pengarah MAS, jangan cuba-cuba untuk melantik orang asing. Nanti kamu semua juga layak menjadi 'pengkhianat bangsa'. Kerana membenarkan 'penjajahan' berlaku semula.

Aku pun keliru atas kapasiti apa dia bersuara. Adakah kementeriannya sudah cukup gah hingga dia boleh berkokok sesuka hati?

Kalau sesiapa yang tak kenal dengan menteri ini, ini satu klunya. Menteri ini pernah merokok di atas pentas kerana menggelupur kepanasan setelah diserang bertubi-tubi oleh para mahasiswa ketika siri jelajah seluruh negara akibat penyingkiran seorang timbalan perdana menteri dahulu.

Merokok di atas pentas? Kau tak faham apa maksudnya? Read between the lines, beb!! Aku tau kau lebih cerdik dari menteri yang cepat melatah ini.

Hah!

4 comments:

Anonymous said...

Disalin dari Utusan

Amaran terakhir makmal komputer
Oleh ZAID MOHD. NOOR

YAN 28 Ogos - Syarikat-syarikat pembinaan yang gagal menyiapkan makmal komputer sekolah di seluruh negara diberi amaran terakhir supaya memastikan projek itu dapat disiapkan akhir tahun ini.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, secara keseluruhannya terdapat antara dua hingga tiga makmal komputer sekolah di setiap negeri dilaporkan masih belum siap sepenuhnya walaupun telah tamat tempoh pembinaan yang ditetapkan.

Bagaimanapun, menurutnya, berdasarkan kepada laporan yang diterima sebahagian besar makmal komputer sekolah di seluruh negara telah siap dibina.

Katanya, syarikat-syarikat kontraktor yang sakit itu bukan sahaja perlu membayar denda ekoran kegagalan menyiapkan projek tersebut dalam tempoh ditetapkan tetapi pada masa yang sama perlu menyiapkannya dalam tempoh empat bulan ini.

"Saya menganggapkan syarikat kontraktor yang masih gagal menyiapkan projek makmal komputer sekolah itu sebagai pengkhianat bangsa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian dan pelepasan kayuhan integrasi Merdeka 2005 di Sekolah Menengah Kebangsaan Yan di sini hari ini.

Sebanyak 200 pelajar dari sekitar daerah Yan menyertai program tersebut akan mengelilingi kawasan Parlimen Jerai selama dua hari bermula hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ahli Parlimen Jerai, Datuk Badruddin Amiruldin dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jerai, Basori Abu Hassan.

Hishammuddin yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO berkata, pembinaan makmal komputer sekolah itu perlu disiapkan akhir tahun ini memandangkan pada tahun depan sekolah lain pula yang dipilih untuk dibina makmal komputer di bawah Rancangan Malaysia Ke-9.

Dalam pada itu, menurutnya, beliau ingin memastikan dalam tempoh lima tahun akan datang sebanyak 10,000 buah sekolah di seluruh negara mempunyai makmal komputer dan kemudahan komputer mencukupi.

Ketika ditanya mengenai langkah yang akan diambil untuk mengelakkan berlaku kelewatan menyiapkan makmal komputer sekolah pada masa depan, beliau berkata, selepas ini Kementerian Pelajaran sendiri akan memantau pembinaan projek tersebut selain pihak-pihak berkuasa lain.

Anonymous said...

Disalin dari Utusan

Pemuda tidak mahu MAS 'dijajah'
Oleh HAIRULAZIM MAHMUD

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Pergerakan Pemuda UMNO membidas tindakan syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines System Bhd. (MAS) yang dikatakan mahu melantik warga asing sebagai pengarah urusan barunya.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menganggap pelantikan warga asing untuk menerajui sesebuah syarikat milik negara boleh disamakan seperti merestui penjajahan semula tetapi dalam bentuk yang baru.

"Ini adalah pendirian Pemuda UMNO sebelum MAS mengumumkan sebarang pelantikan dan kita mahu tahu apa alasan mereka berbuat demikian.

"Jangan tengok pada sudut komersial sahaja tetapi kena tengok agenda yang lebih besar iaitu agenda Melayu.

"Pemuda UMNO tidak akan membiarkan perkara seperti ini berlaku dan apa MAS nak buktikan dengan pelantikan orang luar ke jawatan itu," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menutup Forum Khas Isu-Isu Ekonomi Semasa anjuran Biro Ekonomi pergerakan itu di sini hari ini. Hadir sama ialah pengerusi biro, Reezal Merican Naina Merican.

Hishammuddin mengulas laporan yang mendakwa MAS sedang mempertimbangkan untuk melantik warga asing sebagai peneraju baru syarikat itu selepas pengarah urusannya Datuk Ahmad Fuaad Dahlan bersara awal minggu lalu.

Beberapa tokoh terkemuka industri penerbangan termasuk Ketua Eksekutif British Airways, Rod Eddington; Ketua Pengarah Persatuan Penerbangan Asia Pasifik, Andrew Herdman dan Pengurus Besar Eksekutif Qantas, John Borghetti sedang diteliti oleh Khazanah Nasional Bhd. selaku pemegang utama saham MAS.

Calon lain yang disebut-sebut bakal mengambil alih jawatan itu ialah Pengarah Eksekutif MAS, Tengku Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz yang juga Ketua Eksekutif Penerbangan Malaysia Bhd. (PMB) yang merupakan syarikat induk MAS.

Pelantikan itu bertujuan merapatkan jurang daya saing MAS dengan syarikat penerbangan lain yang lebih kukuh di rantau ini.

MAS mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM274.83 juta pada suku pertama yang berakhir 30 Jun 2005, berbanding keuntungan sebelum cukai RM22.504 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama sebelumnya.

Hishammuddin berharap pengurusan MAS dapat memberikan sebab yang munasabah kenapa jawatan Pengarah Urusan itu tidak dapat diisi oleh rakyat Malaysia amnya, dan orang Melayu khasnya.

"MAS kena beri sebab mengapa orang Melayu atau rakyat Malaysia tidak layak. Penjajahan sekarang bukan melalui senjata sahaja tetapi kita kena sedar ada penjajahan melalui pemikiran, budaya dan ekonomi," katanya.

Beliau berkata, apa yang diperjuangkan pergerakan itu selari dengan dengan pendirian Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang mahu syarikat milik kerajaan (GLC) memahami dan membantu orang Melayu selaras dengan aspirasi Pemuda seperti yang dibangkitkan pada Perhimpunan Agung UMNO bulan lalu.

"MAS mewakili Malaysia. Ia kena beri gambaran untuk kekuatan sebagai satu bangsa yang berhemah. Kita (ahli politik) juga yang mempertahankan MAS dan kita juga yang cari laluan baru untuk MAS dan buat hubungan dua hala," katanya.

Ketika ditanya jika Pemuda Umno bersetuju atau akan membantah cadangan Khazanah Nasional untuk melantik antara empat tokoh penerbangan antarabangsa berbangsa Inggeris sebagai peneraju MAS, Hishammuddin berkata: "Kita rasional. Kita akan lihat kenyataan rasmi dahulu. Yang penting, mereka kena perjelaskan."

Anonymous said...

"Kita rasional. Kita akan lihat kenyataan rasmi dahulu. Yang penting, mereka kena perjelaskan."
(baca:saya nak dengar kenyataan PM dulu, takut2 nanti contra pulak statement saya dgn PM..)

Korakora said...

apa kata jual saja mas kat donald trump. nanti trump boleh kata, "your're fired!"