Friday, August 19, 2005

Carut Karut Marut v3

...

Latarbelakang: Sebuah kampung nampaknya aman, tapi ada bara di dalam sekam.
Masa: Zaman sekarang.

Larut malam. Surau lama. Tidak berjaga. Sudah lama tidak kedengaran azan dari surau itu. Ada pemuda asing yang singgah.

Berkelana. Lelah. Duduk berehat di tangga surau. Nyamuk banyak tidak dihirau. Kerana kepenatan terus terlelap.

Subuh hampir tiba, lelaki terus terjaga. Dan bersiap untuk solat. Memalu gendang. Menandakan subuh sudah tiba. Azan.

Keluarga dari rumah berhampiran surau datang berjemaah. Berbual dengan lelaki tadi. Tapi tidak dihirau. Mereka penuh dengan curiga. Terhadap lelaki ini. Ada juga yang bersimpati dengan lelaki ini. Mengajaknya ke rumah. Tapi ditolaknya dengan sopan.

Tapi identitinya masih lagi misteri.

Tapi lelaki itu tidak mahu ke tempat lain. Cukuplah baginya untuk berteduh dan beristirahat di surau itu. Dan bersolat tanpa gangguan.

Surau yang dulunya sunyi, kini tidak lagi. Semakin ramai yang datang berjemaah. Subuh. Zuhur. Asar. Maghrib. Isya'. Siapa lelaki ini? Tiada siapa yang boleh menjawab. Masa terluangnya dihabiskan dengan membaca. Mendalami ilmu-ilmu agama. Mengaji. Berzikir. Tiada masa untuk berbual.

Kewarakannya memikat hati orang kampung. Tidak kira tua atau muda. Tapi topeng identitinya masih tidak terbuka. Kerana ia asyik berselindung bila ditanya asal-usulnya.

"Saya hanya orang asing. Tak perlu hirau tentang saya. Perjalanan saya masih jauh."

Itu saja katanya, bila ditanya. Hingga orang tidak lagi mahu bertanya.

Ada pertelingkahan di dalam kampung. Berebut harta pusaka. Rujuk pada pemuda misteri ini.

"Baliklah dulu. Esok datang lagi," dan dia terus bersolat. Minta petunjuk. Dari Tuhan.

Esoknya mereka datang lagi. Meminta pendapat dan nasihat.

"Baliklah dulu. Esok datang lagi," dan dia terus bersolat. Minta petunjuk. Dari Tuhan.

Dan esoknya mereka datang lagi. Meminta pendapat dan nasihat.

"Jangan begitu tapi begini. Tidak elok," Nasihat diberi dengan lembut. Petunjuk dari Tuhan sudah sampai. Anehnya, mereka menerima pula dengan baik. Tanpa bertelingkah lagi. Malah bertaut kembali persaudaraan.

Rasa hormat terhadap pemuda ini bertambah. Ramai yang datang merujuk padanya bila ada masalah. Cuma ada yang cemburu. Ketua kampung. Kerana cakapnya tidak lagi laku. Dia cuba membuat pakatan menghalau pemuda ini. Tapi ramai yang membangkang.

Hingga akhirnya bara dendam tidak dapat dipadamkan. Dia mengupah orang memukul pemuda ini. Hanya kerana cemburu. Bodoh, kau kata?! Kau tak pernah dengar ke orang buat benda-benda bodoh kerana cemburu?!

Pemuda ditemui di tangga surau. Ditikam. Berdarah. Lemah. Tapi dia menolak untuk dibawa ke klinik.

"Tak apa. Sikit saja ni. Jika saya masih boleh bersolat, sudah cukup."

Hujan turun malam itu. Dan sejak dari itu, tidak pernah berhenti. Hujan turun mencurah-curah. Kadangkala berselang guruh dan petir. Ribut.

Ramai yang tidak dapat menoreh. Kerana hujan terus turun. Dan turun. Dan turun. Hingga banjir kampung. Ada anak orang kampung yang hanyut dibawa arus. Ramai yang marah. Tertanya-tanya. Untuk siapakah petaka ini?

"Inikah balasan dari Tuhan?" Hati ketua kampung terus berdetik. Ladang getahnya sudah lama tidak mendatangkan hasil. Kerana hujan terus-terusan turun. Kalau teduhpun, hanya seketika. Rosak susu getah yang baru ditoreh.

Dia pergi berjumpa dengan si pemuda. Meminta maaf. Dan si lelaki ini bermunajat. Memohon pada Tuhan, agar dihentikan hujan. Dan dia berpuasa keesokan harinya. Dengan badan yang masih lemah kerana kehilangan darah. Enggan menjamah apa-apa selain sebutir kurma dan seteguk susu.

Dia berpuasa. Dari hari ke hari. Hujan tak juga berhenti. Dari minggu ke minggu. Hujan tak juga teduh. Hingga bulan berganti bulan. Hujan masih tidak berhenti.

Tapi pemuda ini terus berpuasa. Dan santapannya untuk berbuka masih juga sama. Hanya sebutir kurma dan seteguk susu. Tapi badannya masih lemah. Dan bersolat. Bermunajat. Berzikir. Memohon Tuhan perkenankan permintaannya.

Hingga, satu hari dia akhirnya jatuh sakit. Tapi dia masih berpuasa. Kerana Tuhan belum mahu menghentikan hujan. Mungkin Tuhan mahu menenggelamkan mereka semua. Tapi bahtera Noh tidak singgah di sana. Memang benarlah, Tuhan mahu menenggelamkan mereka.

Asar. Dia mengajak orang kampung berjemaah. Di akhir solat, dia berdoa bersungguh-sungguh. Untuk kesekian kalinya. Dengan suara yang lemah dan diaminkan penduduk. Moga-moga Tuhan sudi menghentikan hujan.

Orang kampung bersurai.

Dia membuka balutan kesan tikaman. Darah terus membuak keluar. Seolah-olah seperti baru ditikam. Biarkanlah. Dia terima balasan Tuhan untuk dosanya yang lalu. Nyawanya direntap Tuhan. Dan hujan pun redalah.

Orang kampung hairan. Tapi gembira. Kerana hujan sudah berhenti.

Hampir tiba waktu Maghrib. Ada yang menghantar sebutir kurma dan segelas susu. Untuk lelaki itu berbuka. Tapi apa yang ditemuinya hanya mayat lelaki itu.

Seminggu berlalu tanpa hujan. Tapi kampung itu diselubungi kesedihan. Kehilangan pemuda yang baik hati itu. Yang sudi menyerahkan nyawanya agar Tuhan menghentikan hujan.

Sekumpulan polis datang. Di kampung yang masih berlumpur itu. Menanyakan tentang lelaki itu. Kononnya itu adalah banduan yang lari dari penjara.

Hah!

Nota: Ini kisah kitar semula. Dari drama TV akhir 80an. Atau awal 90an. Kalau tak silap. Dalam cerita asal, kampung dilanda kemarau hingga ke akhir hayatnya. Hujan hanya mula turun bila dia dikebumikan. Ya! Memang dia lari dari penjara.

1 comment:

Anonymous said...

oit.. kang kena curik lagi idea ni camne?? haha..
org yg layak mengarah : osman ali or rashid sibir..