Monday, July 07, 2008

Bukankah

...

It's now official. The baby's gone.

Apa perasaan aku? Sedih? Aku baik-baik sahaja.

Bukan aku yang terguling-guling menahan sakit sebab turun darah. Bukan aku yang rasa seperti mahu tercabut nyawa dan berkali-kali meminta ampun dan maaf.

Aku baik-baik sahaja.

*** *** *** *** ***

Aku tak mahu mengaku aku ini suami yang baik, tapi aku fikir di saat-saat sukar seperti ini, tempat suami adalah di sisi isteri.

Mengapa aku kata aku bukan suami yang baik? Sebab aku selalu berbohong dengan isteri kalau mahu bersantai dengan teman-teman. Dahulu, bila dia telefon dan bertanya bila mahu pulang ke rumah, selalu aku kata, "Meeting tak habis lagi. Saya balik lambat."

Dahulu, jika bersama kawan-kawan, dan isteri menelefon kata mahu makan bersama, selalu aku kata, "Awak makan dahulu. Jangan tunggu saya."

Dan aku pun sambung berborak sambil minum teh bersama kawan-kawan, sehingga jam 9 atau 10 malam. Kadang-kadang terlajak hingga jam 11.

*** *** *** *** ***

Tapi akhir-akhir ini, aku tak mahu lagi berbohong. Jadi, kalau aku mahu melepak bersama kawan, aku berterus-terang sahaja. Dan akhir-akhir ini, isteri aku juga tak berapa kesah aku mahu melepak, sekali-sekala.

Mungkin dia sedar, lelaki seperti aku pun perlukan ruang sekali-sekala untuk bersama kawan-kawan. Lelaki gasar seperti aku, tak suka hidup terkongkong.

Sabtu lepas, aku ingin melepak bersama kawan, tapi isteri aku mahu aku jadi pemandu. Kebetulan, Sabtu dan Ahad itu ada kenduri perkahwinan sepupunya.

Aku paling malas pergi kenduri. Tapi aku benci bila isteri aku dakwa, aku ini lebih suka mementingkan kawan-kawan dari saudara maranya. Err, sebenarnya aku lebih benci bila ibu bapa isteri aku dakwa, aku ini lebih suka mementingkan kawan-kawan dari saudara maranya.

*** *** *** *** ***

Jadi, apa isunya?

Ya, aku terasa hati tapi aku baik-baik sahaja.

Kalau terasa pedas, berhenti makan cili.

*** *** *** *** ***

Kata orang, kalau mahu berhenti merokok, elakkan dari makan makanan yang pedas-pedas.

Hari ini sudah genap 30 hari aku berhenti merokok.

Tuesday, July 01, 2008

kita

...

Aku lemah bila perempuan aku tanya, "Tak nak cuci pinggan?"

Jawapannya bukan semudah "ya" atau "tidak".

Kerana jika ia ayat permintaan, seharusnya ia berbunyi lebih lembut, "Tak mahu tolong cuci pinggan?" (atau seumpamanya). Atau jika ia adalah ayat arahan, sepatutnya ia lebih ringkas (dan tegas), "Cuci pinggan!" (atau seumpamanya).

Tapi "tak nak cuci pinggan?" tidak menyerupai ayat permintaan atau arahan, ia seperti ayat pertanyaan yang memerlukan yang ditanya melihat jauh ke dalam konteks ayat. Ia perlu dibaca (atau didengar) di antara garisan.

Kalau kau tanya aku, bagaimana aku jawab soalan seperti ini, aku kata selalunya aku akan buat tak tahu sahaja.

Ya! Ini jenis jawapan cari pasal. Jangan cuba kalau kamu tidak punya ilmu kebal. Ha ha!

Tuesday, June 24, 2008

dilahirkan

...

Belum puas aku bergembira, Ahad malam yang lepas, pakar sakit puan itu kata kamu sudah tiada. Gula dalam tubuh mummy kamu terlalu tinggi, hingga membunuh kamu.

Tapi Ahad lepas, aku bawa mummy kamu ke klinik dan lihat kantung kamu masih ada. Doktor di klinik pun kata, selalunya kalau kamu tiada, kantung kamu pun akan gugur sekali. Tapi kami lihat kantung kamu masih elok.

Mummy kamu ditahan di wad. Bila diperiksa sekali lagi, doktor di wad kata mahu beri kamu peluang sekali lagi.

Aku pun tak tahu kamu masih ada atau tidak. Nadi kamu tidak (atau belum) dapat dikesan.

Mungkin terlalu awal, atau sudah terlewat.

*** *** *** *** ***

"Dian, mari sini. Mummy nak cakap sikit."

"Apa dia?"

"Adik dalam perut ni dah tak ada tau."

"Ya? Dia pergi mana?"

"Jalan-jalan jauh. Jumpa Tuhan."

"Jumpa Tuhan sebab nak bagi elok?"

Hmm...

Thursday, June 19, 2008

sama

...

Aku sudah lama tunggu kamu. Sejak setahun yang lepas. Tapi mungkin belum tiba masanya, kamu tak munculkan diri.

Sekarang ekonomi aku agak gawat, baru kamu timbul. Tapi untuk kamu, tak pernah ada dalam kamus hidup aku, masa yang terburuk atau yang terbaik. Aku akan terima kamu seadanya.

Alhamdulillah!

Tuesday, June 10, 2008

Adakah

...

Bos aku yang sekarang hisap paip tapi kadang-kadang rembat juga rokok aku (dulu), berniat mahu berhenti merokok. Dia berminat untuk menguji keberkesanan pil bupropian.

Aku tanya dia, "Kau ada barah otak?"

Dia tercengang.

Aku tanya lagi, "Sawan? Penyakit gila babi?"

Nganganya makin luas.

"Mengandung?" Sambil aku menunjuk perutnya yang buncit.

"Celaka!" Jawabnya.

*** *** *** *** ***

Aku tanya bos aku yang sekarang hisap paip tapi kadang-kadang rembat juga rokok aku (dulu), "Apa makna irrevocable?"

Dia jawab, "Yang tak boleh revoke."

Ceh! Serupa tak payah jawab.

Monday, June 09, 2008

kulit

...

Aku rasa dah jadi habit baru. Setiap kali aku mengisi minyak, aku akan mencarut. Tapi cara ini tidak menjimatkan minyak aku.

Sini aku kongsikan cara aku jimatkan belanja.

1. Buang semua caller ring tone.
Kalau setiap kali tukar lagu, dia caj RM1, rabak juga tu. Buang kredit masabual aku 'ja.

2. Berhenti merokok.
Silap aku sebab merokok sebelum berjumpa doktor, terus dia perangkap aku. Tapi sekarang dah 3 hari aku tak merokok. Aku ambil pil bupropian. RM2 sebiji. Mau?

*** *** *** *** ***

Aku cukup suka tip-tip yang Proton iklankan di radio.

1. Keluarkan suratkhabar, kasut.
2. Buang semua syiling 1 sen.
3. Buang penumpang yang selalu mengomel.

Sampai ke tip yang terakhir, aku pandang isteri di sebelah dan tersengih. Nasib baiklah kereta sedang bergerak, kalau tak, harus aku tercampak keluar.

Thursday, June 05, 2008

menentukan

...

Semalam, sekitar jam 9 malam, berdesup-desup SMS masuk.

Semuanya mengingatkan aku untuk mengisi minyak penuh-penuh. Bukan sikit-sikit anak punya naik. RM0.70 seliter tu, dude!

Aku pun jadilah sebahagian dari sejarah, berdesup ke stesyen minyak. Beratur panjang, tak usah ceritalah. Larilah ke stesyen minyak mana pun, semuanya sama. Shell, Petronas, Mobil, Caltex semua sesak. Ptuih!!

*** *** *** *** ***

Isteri aku telefon.

Tak perlu isi minyak katanya.

Maksima isi untuk kereta RM10, untuk motorsikal RM3. Ptuih!

Aku tak isi minyak semalam. Aku patah balik ke pasar malam. Pukul 10 lebih, masih meriah lagi. Macam tak nak balik.

Beli ikan laga untuk Dian.


*** *** *** *** ***

Hari ini aku menyumpah-nyumpah.

Dulu, punyalah susah nak cecah RM40 kalau pun tangki kosong, tapi sekarang RM50 pejam mata saja boleh dapat. Ptuih!!

Yang punya kereta kecil macam aku pun dah merungut-rungut, aku dapat bayangkan mereka yang punya kereta besar macam kamu.

*** *** *** *** ***

Kawan aku kata, bukan harga minyak yang dinaikkan, tapi harga subsidi minyak yang diturunkan.

Ah! Tak ada beza pun, sebab esok lusa (mungkin hari ini sudah mula) barang-barang lain pula naik harga.

Semalam ikan laga, harganya cuma RM4 campur dengan sepaket makanannya. Esok lusa entah berapa ringgit jadinya.

Ptuih!!