Tuesday, March 25, 2008

yang

Hello pembaca di MyKRIS Asia Sdn Bhd.

*** *** *** *** ***

Akak di bengkel kereta tu cakap, "Wah! Banyak cantik lu punya nombor kereta. Ada tikam ke?"

"Saya tak main nombor," aku jawab. Ikhlas.

*** *** *** *** ***

Aku rasa sudah menjadi kepercayaan orang ramai, malah sudah jadi lagenda, Kancil adalah antara kereta yang mempunyai sistem brek paling hebat di dunia.

Sebab itu, kalaupun kau memandu Kancil dalam 110 kilometer sejam di lorong paling kanan, jangan hairan kalau tiba-tiba kenderaan di lorong tengah mahu tukar lorong tanpa perlu beri sebarang isyarat pun. Dan masuk lorong kanan pula bukan kerana mahu memotong, tapi kerana sudah bosan memandu di lorong tengah.

Ya, sistem brek Kancil adalah antara yang terhebat di dunia.

!@#$

Friday, March 21, 2008

dihidang

...

Lelaki padam teks.

Kemudian, senyap.

Saturday, March 15, 2008

kalau

...

Bila pemimpin Cina itu berniat mahu memulaukan majlis angkat sumpah, melompat semua media aliran utama kata pemimpin Cina itu biadap pada Sultan Melayu.

Tapi bila Sultan Melayu mahu memilih yang lain, Menteri Besar (kononnya) yang baharu sahaja mendapat watikah daripada PM, terus menuduh adanya "tangan-tangan munafik". Dengan menidakkan titah sultan, tidakkah Melayu yang satu ini juga biadap?

Nanti kita lihat, adakah dia juga akan meminta maaf seperti pemimpin Cina yang dikatakan biadap itu.

*** *** *** *** ***

Makhluk yang berkeras mahu menjadi PM (dan sambung tidur, mungkin) buat penggal yang kedua itu dulu berkata, "Saya pantang dicabar!"

Kamu agak-agak, kalau kita ramai-ramai cabar dia letak jawatan, dia berani buat tak?

*** *** *** *** ***

Jangan terpancing dengan provokasi yang berbau perkauman. Guna akal sebelum bertindak!

Wednesday, March 12, 2008

di sini

...

Beberapa minggu lalu, kedengaran di sekolah asrama di Rawang.

Di radio Laguku Untukmu sedang dimainkan. Seorang wanita bertanya pada suaminya, "Lagu siapa ni?"

"Meet Uncle Hussain," jawab si suami.

"Kenapa Uncle Hussain?"

"Sebab tak berapa sedap kalau dinamakan Meet Uncle Khalid."

"Kenapa tak namakan sahaja Meet Uncle Sirajuddin?

"Panjang sangat," jawab si suami. Bosan.

*** *** *** *** ***

Khalid adalah nama ayah wanita tersebut. Sirajuddin adalah nama ayah si suami. Kedua-duanya masih hidup. Kami, erkk... eh.. wanita dan suaminya berharap kedua orang tua mereka itu tak tersedak bila nama mereka disebut-sebut.

*** *** *** *** ***

Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor yang baharu, bukanlah ayah kepada wanita di atas.

Tan Sri Khalid juga merupakan DUN Bandar Tun Razak yang baharu, mengalahkan Datuk Tan Chai Ho.

*** *** *** *** ***

Sirajuddin, ayah kepada suami perempuan di atas bukanlah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sayyid Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, yang di-Pertuan Agong ke-11.

*** *** *** *** ***

Aku tidak mengundi. Dan tidak juga mendaftar sebagai pengundi. Tapi setiap kali pilihan raya, aku akan semak nama di SPR. Takut juga, kalau klon aku tiba-tiba menjelma dengan penuh semangat patriotik dan berdaftar sebagai pengundi di Rembau.

*** *** *** *** ***

Polis kata jangan percaya pada khabar-khabar angin. Tapi adik Sharlinie Mohd Nashar sudah lebih 60 hari hilang. Hidupkah dia, matikah dia?

Polis kata, mereka akan dapat mengesan adik Sharlinie dalam masa yang terdekat. Ini janji mereka yang entah berapa belas kali.

Aku kata, janji-janji mereka itu patutlah dianggap sebagai khabar angin juga. Janji polis kali ini serupa seperti janji (beberapa) ahli politik menjelang pilihan raya.

*** *** *** *** ***

Setelah lebih 60 hari, kehilangan adik Sharlinie masih jadi tanya tanya. Memanglah ajal dan maut bukan di tangan aku, tapi ini sudah lebih 60 hari. Kalau dia masih hidup, dapatkah polis buktikan?

Tapi kalau dia sudah mati, jangan fikir penculiknya akan pulangkan dia seperti penculik dahulu memulangkan adik Nurin Jazlin Jazimin.

Penculik dahulu memulangkannya kerana dia punya 'kesedaran' agama. Dia mahu pulangkan kerana mahu mayat adik Nurin disempurnakan cara Islam. Dia tak mampu nak buat semua tu.

Tapi penculik adik Sharlinie, tak punya kesedaran itu. Kalau pun ada kesedaran, mereka pasti tak lupa bahawa penculik adik Nurin dahulu hampir tertangkap kerana pergerakannya terakam di CCTV. Kali ini penculik adik Sharlinie pasti lebih berhati-hati supaya pergerakan mereka tidak terakam di CCTV.

*** *** *** *** ***

Setiap kali berlaku kes penculikan kanak-kanak berlaku, antara perkara pertama yang pihak berkuasa patut lakukan ialah memeriksa setiap rakaman CCTV di stesyen-stesyen minyak yang berhampiran dengan tempat kejadian. Sebelum dan selepas kejadian.

*** *** *** *** ***

Aku juga mahu nasihatkan kamu, jangan percaya pada khabar-khabar angin. Dan jangan dengar cerita dari sebelah pihak sahaja.

Dengar dahulu cerita kedua-dua belah pihak. Dan kalau ada pihak ketiga, keempat dan seterusnya, dengar juga. Baru adil. Baru saksama.

Allah beri kau otak, bukan seperti Dia beri otak pada beruk.

*** *** *** *** ***

Antara dialog sebuah video di youtube yang terhangat sekitar kempen BERSIH, dan subur kembali di musim pilihan raya ini.

"Kita akan cuba jadi hero di jalan raya."

"Polis kata jangan!"

"Kita akan buat macam beruk-beruk di jalan raya."

"Polis kata jangan!"

*** *** *** *** ***

Menurut satu berita, ada seorang (bekas) Menteri Besar mengunci pintu dan menangis bila keputusan pilihan raya diumumkan. Wartawan menunggu sampai ke subuh, tapi dia tetap tak mahu keluar.

Khabar angin yang lain mengatakan di sebelah utara, majoriti undi seorang Presiden sebuah parti hanyalah 1000 lebih kurang, tapi telah diselamatkan oleh undi pos. Begitu jugalah dengan majoriti undi yang diperolehi oleh anak menantunya.

*** *** *** *** ***

Di mana Dato' Seri S. Samy Vellu? Adakah dia diculik?

*** *** *** *** ***

Penulis mesti ada tanggung jawab atas apa yang ditulisnya. Aku akan bertanggung jawab atas apa yang aku tulis, tapi kalau aku kata ianya khabar angin, ianya harus dianggap sebagai khabar angin juga. Jadi jangan percaya bulat-bulat.

*** *** *** *** ***

Cerita-cerita satira politik tidak melanggar mana-mana akta, dan merupakan jalan jauh untuk seseorang itu disumbat ke dalam penjara.

Satira biarpun ditulis berdasarkan kisah benar, tapi ia seharusnya dianggap sebagai fiksyen.

*** *** *** *** ***

Orang tua-tua kata, kalau tak ada angin, takkan pokok bergoyang?

*** *** *** *** ***

Menurut kalendar Cina, tahun ini ialah tahun tikus.

Tikus merupakan haiwan terkecil di dalam kalendar Cina. Menurut lagendanya, keduabelas haiwan ini berlumba lari, dan tikus menumpang di atas kepala lembu dan melompat turun bila tiba di garisan penamat.

Tikus adalah haiwan yang licik. (Penipu!?)

*** *** *** *** ***

Ini bukan blog satira.

Walaubagaimana pun, aku tidak cuba membawa maksud, parti yang tumbang pada pilihan raya pada kali ini sebagai lembu. Aku tidak juga cuba membawa maksud bahawa parti yang menang pada kali ini sebagai penipu.